ad

Impian jadikan dinding kota pentas papar sejarah Selangor, tokoh pejuang

2 Ogos 2025, 3:00 AM

SHAH ALAM, 2 OGOS: Pelukis mural jalanan, Yaulacap mahu menjadikan dinding-dinding kota sebagai pentas bercerita bagi mengangkat kisah sejarah Selangor yang lama terlupa, termasuk perjuangan tokoh negeri seperti Sultan Ibrahim menentang penjajah Belanda di Kuala Selangor.

Bermula sebagai wartawan, anak seni yang nama sebenarnya Dhiyaul Mohamad Ashraf ini memilih seni mural sebagai medium paling berani untuk menyentuh isu-isu warisan, identiti dan nilai yang kian tenggelam.

"Saya nak satu dinding dekat Kuala Selangor. Yang itu saya nak buat lukisan peperangan Sultan Ibrahim dengan Belanda. Itu akan jadi pencetus orang akan ingat balik kenapa kita perlu bangga duduk di Selangor," katanya dalam satu temubual Media Selangor baru-baru ini.

Yaulacap berkongsi bahawa hasratnya untuk melukis adegan pertempuran Sultan Ibrahim di sebuah dinding besar berhampiran tanah perkuburan masih belum tercapai selepas ditolak oleh pihak majlis.

Namun beliau kekal tegas, karya besar seperti itu mesti membawa nilai dan mesej bukan sekadar hiasan.

"Kalau Melaka boleh tonjolkan kapal dan bangunan lama, kenapa tidak Selangor? Kita pun ada kisah perjuangan sendiri yang boleh diangkat," tambah anak kelahiran Kelantan ini.

Yaulacap berusia 34 tahun itu sebelum ini pernah tular menerusi lukisan 'Encik Kumar' yang dipercayai mengalami gangguan mental dalam kalangan penduduk di Kluang serta lukisan Red Giant di Shah Alam yang dihasilkan sebagai kenangan buat peminat bola sepak Selangor selepas stadium lama dirobohkan.

Jelas bapa kepada tiga anak ini, setiap lokasi mural dipilih dengan teliti, sama ada lorong terpinggir atau kawasan sibuk, bergantung kepada mesej yang ingin disampaikan.

Contohnya, mural bertema safari di Klang berjaya mengubah lorong gelap menjadi lokasi tumpuan keluarga.

"Kalau kita tarik budak-budak, mak ayah mereka pun akan datang. Masa itu, tempat itu jadi hidup," katanya.

Selain sejarah, Yaulacap turut menyelitkan tema seperti kemiskinan, kesihatan dan alam sekitar dalam karya-karyanya.

Beliau mahu mural menjadi ruang mendidik masyarakat dan menghidupkan semula nilai yang semakin dilupakan.

"Saya suka cipta agenda supaya masyarakat mula faham tentang kemanusiaan. Kita makin lupa tentang orang susah, orang lapar. Saya nak bawa balik nilai itu melalui seni," jelasnya.

Baginya, satu lukisan yang kuat boleh menjadi pencetus kesedaran dan kebanggaan terhadap negeri.

Kini, beliau terus berkarya bersama pelukis lain untuk mengangkat kembali jiwa Selangor melalui seni di dinding kota.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.