Oleh Suhaila Shahrul Annuar
KLANG, 1 OGOS: Semua pihak termasuk agensi kerajaan, pemain industri, institusi kewangan dan masyarakat diseru terus berganding bahu membangunkan usahawan mikro dan peniaga mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha itu membantu mereka berkembang dan bersaing secara sihat untuk berjaya dan memberi pulangan semula kepada negeri.
"Kita mahu lahirkan usahawan mikro hari ini sebagai pemilik perniagaan berjaya pada masa depan. Kini, lebih 88,000 peniaga mikro telah berdaftar dan menyertai pelbagai program di bawah Platform Selangor (PLATS).
"Mereka bukan sekadar menerima akses kepada pendigitalan malah dibimbing melalui latihan, menerima bantuan pembiayaan dan paling penting, diberi peluang untuk berkembang secara inklusif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sembah ucapan pada majlis perasmian Malam Anugerah Platform Selangor (MAPS) 2025 di sini, malam ini. Turut hadir EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi.
Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor berkenan merasmikan majlis anjuran Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor yang mengiktiraf pencapaian cemerlang usahawan PLATS.
Tengku Amir Shah berkenan menyempurnakan penyampaian anugerah kepada 18 penerima anugerah yang membawa pulang hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM32,000 berserta trofi dan plak penghargaan.
Pada majlis itu, usahawan mikro dan kecil Selangor menerima pelbagai pengiktirafan atas pencapaian cemerlang sepanjang mengikuti program Latihan Pembangunan Usahawan PLATS (U-PLATS) Digital.
Seramai 12 usahawan mikro terbaik peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) turut menerima pengiktirafan dengan hadiah wang tunai keseluruhan RM12,000.
Selain itu, seramai empat usahawan turut menerima Anugerah Peserta Terbaik U-PLATS Halal atas kejayaan mendapat kelulusan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).
Pemilik perniagaan Kopi Opu, Kartinie Ramli dinobatkan pemenang Anugerah Utama Usahawan Mikro yang membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 manakala lima usahawan menerima anugerah kategori khas bagi Komuniti, Muda, Revolusi Teknologi, Inovasi dan Wanita dengan hadiah keseluruhan RM15,000.
Sebelum ini, Amirudin berkata PLATS adalah ekosistem menyeluruh yang memberi ruang kepada usahawan tempatan untuk berkembang melalui akses kepada latihan, pembiayaan dan jaringan pasaran.
Pada 2023, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperkenal program U-PLATS antaranya bagi membantu usahawan menguruskan perniagaan secara digital dengan penglibatan 12 PBT.
Antara modul bimbingan termasuk berkaitan pengenalan kepada keusahawanan, media sosial dan e-dagang serta penciptaan kandungan digital.