SHAH ALAM, 1 OGOS: Kadar caj air bagi 20 meter padu pertama untuk pengguna domestik kekal pada RM0.65 setiap meter padu, meskipun pelarasan tarif air baharu akan berkuat kuasa mulai 1 September ini.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu bertujuan melindungi kebajikan rakyat khususnya kumpulan berpendapatan rendah daripada beban kos tambahan.
“Ini bermaksud tiada peningkatan kerana kadar ini telah pun diselaraskan pada Februari 2024. Caj minimum RM6.50 juga dikekalkan bagi pengguna domestik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut memberitahu kadar baharu bagi rumah kos rendah hanya meningkat sebanyak RM0.10 kepada RM1.18 setiap meter padu, jauh lebih rendah berbanding kadar purata pelarasan.
Pelarasan kadar air mengikut penggunaan:
Penggunaan 20–35 meter padu
kadar meningkat RM0.30 kepada RM1.62/m³
Penggunaan melebihi 35 meter padu
kadar meningkat RM0.88 kepada RM3.51/m³
bertujuan menggalakkan penggunaan air secara optimum dan berhemah
Kondominium, kuarters estet dan kuarters kerajaan
caj meningkat RM0.41 kepada RM2.09/m³
caj minimum bulanan:
- RM173 kekal untuk kondominium
- RM20.90 ditetapkan untuk kuarters kerajaan dan estet
Pelarasan tarif ini merupakan sebahagian usaha menjamin kelestarian bekalan air jangka panjang, di samping memastikan golongan sasar terus menerima bantuan yang bersesuaian.