ad

Elemen AI diguna ketika pembukaan SUKMA Selangor 2026

1 Ogos 2025, 10:30 AM
Elemen AI diguna ketika pembukaan SUKMA Selangor 2026

SHAH ALAM, 1 OGOS: Acara pembukaan Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 yang dijadual berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) tahun depan bakal dimeriahkan dengan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Ketua Pegawai Operasi Sekretariat SUKMA XXII Selangor 2026, R Venu berkata teknologi itu mempunyai kebaikan dan keburukan, namun ia adalah perubahan yang tidak dapat dielakkan.

“Elemen yang pertama yang kami cuba terapkan adalah penjimatan dana dan yang kedua adalah memastikan program mempunyai impak yang tinggi.

“Jadi mengikut perancangan kami, mungkin elemen AI akan digunakan untuk majlis pembukaan,” katanya dalam temubual eksklusif bersama SelangorFM.

Tambah beliau, elemen AI juga digunakan ketika pelancaran logo, maskot dan tema SUKMA di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, pada 15 Ogos depan sebagai detik rasmi kiraan mundur setahun menjelang temasya.

"Wujudnya elemen AI sebagai ‘countdown’ bagi membangkitkan semangat SUKMA," katanya.

Venu turut menyatakan aspek logistik akan diberikan perhatian khusus agar temasya lebih terancang untuk memastikan semua daerah, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi kerajaan terlibat.

“Kita juga tidak boleh lari dari sukarelawan. Kita akan minta bantuan dari Selangor Youth Community (SAY), Selangor Volunteer (SERVE) dan komuniti bagi membantu penganjuran SUKMA pada kali ini.

Pada 22 Julai lalu, Dato’ Menteri Besar mengumumkan SUKMA Selangor akan berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026 manakala Para SUKMA dijadualkan dari 5 hingga 14 September.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penganjuran SUKMA 2026 melibatkan fasiliti sukan di sembilan daerah serta 12 PBT seluruh negeri, kecuali acara berbasikal trek yang akan berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.