ad

Ikan kembung setanding salmon, makanan sihat tidak semestinya mahal

1 Ogos 2025, 4:00 AM
Ikan kembung setanding salmon, makanan sihat tidak semestinya mahal
Ikan kembung setanding salmon, makanan sihat tidak semestinya mahal

OLEH ANNA FARINA ABDUL RAUF

SHAH ALAM, 1 OGOS: Ikan kembung dan talapia mungkin kelihatan biasa di meja makan rakyat Malaysia, namun kajian menunjukkan kandungan Omega-3 dalam ikan tempatan ini setanding dengan salmon yang diimport dari luar negara.

Pensyarah Kanan Fakulti Kesihatan dan Sains Hayat Management and Science University (MSU) Dr Siti Zaharah Rosli berkata makanan berasaskan bahan tempatan bukan sahaja mempunyai nilai nutrisi yang tinggi malah mudah didapati dan mesra poket.

“Kajian pada 2021 menunjukkan kandungan Omega-3 dalam ikan kembung dan talapia adalah setanding dengan salmon, mampu mengurangkan radang 'inflammation' serta mengurangkan risiko jantung.

“Kajian pada 2023 pula mendapati ulam raja, ulam pegaga dan daun kaduk mengandungi antioksidan tinggi yang membantu melawan radikal bebas dalam badan.

“Ramai tak tahu, jambu batu yang kita anggap biasa itu mempunyai kandungan Vitamin C yang lebih tinggi berbanding buah berries malah, harganya jauh lebih murah dan mudah didapati,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.

Tambah beliau, amalan pemakanan berasaskan bahan tempatan mampu mencegah penyakit kronik jika diamalkan secara konsisten dan seimbang.

“Peria contohnya terbukti dapat menurunkan paras gula dalam darah dan bagus untuk pesakit diabetis, bunga kantan pula sangat sesuai untuk pesakit gout kerana mampu mengurangkan paras asid urik hingga 17%.

Pilih bahan tempatan, sokong ekonomi tempatan

Penggunaan bahan tempatan dalam amalan pemakanan bukan sahaja lebih murah dan mudah didapati, malah turut membantu menjana semula ekonomi setempat.

Beliau berkata langkah itu bukan sekadar memberi kesan positif kepada kesihatan, bahkan menyumbang kepada kelestarian ekonomi negara yang bergantung pada sokongan pengguna terhadap hasil tani tempatan.

“Apabila kita pilih bahan tempatan, kita bukan saja elak kebergantungan pada bahan import yang mahal dan belum tentu sesuai, tapi dalam masa sama bantu petani dan pengusaha tempatan terus bertahan,” katanya.

Mengambil contoh buah nanas, Dr Siti Zaharah menjelaskan buah tropika itu kaya antioksidan dan Vitamin C yang membantu sistem penghadaman dan mengurangkan keradangan.

“Malaysia banyak hasilkan nanas. Kita ada ramai penanam yang berpengalaman, terutamanya di Johor.

“Kalau buah segar macam ni dijadikan sebahagian diet rakyat, ia bukan sahaja sihat, tapi turut menyokong pendapatan mereka,” katanya lagi.

Amal diet selamat, puasa lebih berkesan

Mengulas mengenai amalan diet yang semakin tular seperti keto dan atkins, Dr Siti Zaharah menegaskan pendekatan terbaik untuk rakyat Malaysia ialah mengamalkan pemakanan seimbang serta berpuasa secara berkala.

Kaedah ini bukan sahaja lebih selamat, bahkan terbukti secara saintifik dapat membantu menurunkan berat badan dan meningkatkan fungsi metabolisme tubuh.

“Setiap tubuh manusia berbeza. Diet yang diamalkan di negara luar mungkin tidak serasi dengan budaya makan dan keperluan tubuh rakyat Malaysia,” ujarnya.

Beliau mengingatkan bahawa tidak semua diet popular sesuai diamalkan, terutamanya bagi individu yang menghidap penyakit kronik.

“Amalkan pemakanan seimbang berpandukan prinsip Pinggan Malaysia, suku karbohidrat, suku protein, dan separuh sayur-sayuran serta buah-buahan.

“Ia sangat praktikal dan mudah diikuti, kita perlu ubah 'mindset', makan bukan semata-mata untuk kenyang, tetapi untuk sihat,” katanya lagi.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.