ad
PBT

MPSepang sita mesin air layan diri tiada lesen operasi

31 Jul 2025, 12:00 PM
MPSepang sita mesin air layan diri tiada lesen operasi

SHAH ALAM, 31 JULAI: Sebanyak lima mesin air layan diri yang beroperasi tanpa lesen disita di sekitar Taman Mutiara, Taman Bintang Mas dan Sunsuria Kota Warisan, Selasa lalu.

Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) memaklumkan sebanyak 17 mesin diperiksa dan tindakan termasuk memotong bekalan elektrik dan air dilakukan terhadap mesin yang melanggar peraturan.

Menurutnya, tindakan diambil di bawah Seksyen 46(1)(d) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974, iaitu meletakkan barangan berkaitan perniagaan di tempat awam tanpa kebenaran.

“Majlis menasihatkan semua pengusaha supaya memastikan mesin jual air mempunyai lesen dan permit sah yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan,” maklumnya di Facebook.

Menurut MPSepang, amalan operasi tanpa kebenaran bukan sahaja melanggar undang-undang malah menimbulkan risiko terhadap aspek kebersihan dan keselamatan pengguna.

"Kegagalan mematuhi peraturan boleh mengakibatkan tindakan sitaan, denda atau pertuduhan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," katanya lagi.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.