SHAH ALAM, 31 JULAI: Polis sedang mengesan enam lelaki tempatan kerana terbabit dalam kejadian samun bersenjata di sebuah pusat snuker di Kapar, Klang, semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S. Vijaya Rao, berkata dalam kejadian sekitar 7 malam itu, suspek yang bersenjatakan parang telah berjaya melarikan wang tunai berjumlah RM823.
"Berdasarkan pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV), tiga daripada suspek telah memasuki premis itu manakala tiga lagi menunggu di luar bersama tiga buah motosikal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Vijaya berkata kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara di talian 03-32912222 bagi membantu siasatan.
Terdahulu, tular video berdurasi 52 saat di aplikasi TikTok yang menunjukkan tiga suspek memakai topi keledar dan berparang memasuki pusat snuker itu serta bertindak menggugut penjaga kaunter untuk menyerahkan wang.
Semasa kejadian, terdapat beberapa pelanggan sedang bermain snuker di premis berkenaan.
- BERNAMA