SHAH ALAM, 31 JULAI: Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari menyatakan komitmen Kerajaan Negeri untuk menyokong pelaksanaan Kerangka Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) yang dibentangkan oleh perdana menteri hari ini.
Menurut beliau, antara keutamaan yang perlu disegerakan ialah pembangunan infrastruktur pelabuhan moden di Pulau Carey bagi menampung keperluan kapasiti kontena di Pelabuhan Klang, sejajar dengan usaha menjadikan Malaysia sebagai hab transshipment utama di Asia.
"Selangor bersedia untuk bekerjasama dengan Persekutuan kerana usaha ini perlu disegerakan bagi menampung keperluan urusan kapasiti kontena di Pelabuhan Klang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas tawaran 1.2 juta peluang pekerjaan dalam sektor pembuatan dan ekonomi digital seperti yang diumumkan, Amirudin berkata inisiatif tersebut mampu memberi manfaat besar kepada graduan di Selangor, terutamanya dalam sektor berasaskan teknologi tinggi dan automasi.
Beliau turut menyambut baik penekanan terhadap pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) melalui pembiayaan Perkasa TVET Madani dan Dana Latihan TVET, yang menurutnya menjadikan bidang tersebut bukan lagi pilihan terakhir, sebaliknya peluang utama bagi generasi muda mendapatkan pekerjaan dengan gaji lebih tinggi.
Menyentuh aspek mobiliti dan kesesakan jalan raya, Amirudin menyifatkan penambahbaikan sistem pengangkutan awam sebagai langkah penting, khususnya kepada penduduk Lembah Klang.
“Kerajaan Negeri menyambut baik perancangan menambah van Demand-Responsive Transit (DRT), bas dan set tren penumpang yang diyakini mampu mengurangkan kesesakan, terutama pada waktu puncak,” katanya.
"Kerajaan Negeri juga menerima positif perancangan menambah 300 unit van DRT, 1,200 unit bas, serta 217 set tren penumpang bagi meningkatkan penggunaan pengangkutan awam terutamanya bagi rakyat yang menetap dan berurusan di Lembah Klang," katanya.
Jelas beliau, usaha ini turut mengiktiraf peranan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor yang telah menggerakkan inisiatif DRT lebih awal.
Selain itu, Amirudin menyambut baik pengumuman mengenai Rancangan Tebatan Banjir di Sungai Langat dan Sungai Buloh serta penekanan terhadap pematuhan proses tender seperti yang ditegur dalam laporan Ketua Audit Negara.
Dalam aspek pengurusan sisa, beliau menyatakan bahawa pengiktirafan terhadap teknologi sisa kepada tenaga (WTE) dalam RMK13 akan memperkukuh usaha Selangor ke arah pengurusan sisa yang lebih lestari.
"Kita tidak boleh lagi bergantung kepada tapak pelupusan sampah yang akan memberikan kesan buruk kepada alam sekeliling, terutamanya dalam jangka masa panjang,” tegasnya.
Amirudin turut menyatakan bahawa langkah keterjaminan makanan yang diumumkan, khususnya berkenaan penanaman padi, telah pun dilaksanakan di Selangor melalui projek di Sekinchan.