Oleh: Norasyidah Arshad
Selangor membangunkan Gudang Makanan Selangor (GMS) bagi memastikan rantaian bekalan utama menepati keperluan penduduk meskipun berlaku kejadian luar jangka khususnya bencana.
Dilancarkan Mac lalu, gudang tersebut pada masa ini menampung keperluan makanan ruji iaitu beras selain sumber protein penting seperti daging, ayam dan ikan.
Sebanyak 5,000 tan beras dan 1,000 tan daging sejuk beku disimpan di sebuah syarikat di Pelabuhan Klang yang berupaya menampung keperluan sekitar 20 peratus penduduk.
“Paling tidak, rakyat mempunyai stok selama tiga bulan untuk bertahan. Dalam waktu tertentu, boleh menjadi penimbal kepada harga pasaran supaya harga sentiasa berpatutan kepada rakyat,” kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
Bukan hanya bencana, gudang tersebut juga berperanan mendepani isu ketidaktentuan ekonomi dunia termasuk perang dagang dan perubahan cuaca mendadak yang kian kerap kebelakangan ini.
“Kita hendak pastikan dalam apa jua keadaan sekali pun, rakyat dapat keperluan makanan asasi. Untuk permulaan, kita sasar kepada sumber karbohidrat (beras) dan protein (daging dan ikan).
“Kita tidak boleh ramal bencana apa akan berlaku,” kata EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim kepada Media Selangor merujuk penularan Covid-19 hingga mencetuskan pandemik pada 2020.
Sebelum ini, perang tarif menimbulkan kebimbangan dunia mengenai masa depan urusan dagang antara negara.
Simpanan bekalan dalam gudang tersebut yang dibangunkan hasil peruntukan RM10 juta juga membantu menstabilkan harga pasaran. Tidak berlaku lonjakan harga apabila ada musibah.
Barangan dibawa keluar jika berlaku kekurangan bekalan dalam pasaran yang boleh mengakibatkan harga melambung.
Sebaliknya, lebihan hasil pertanian disimpan bagi mengelakkan harga menjunam hingga menjejaskan pendapatan petani.
Sebelum pandemik dan diburukkan lagi penularan Covid-19, masalah lambakan hasil tani agak ketara tanpa penyelesaian tuntas walau pelbagai usaha digerakkan.
Semasa pandemik, pergerakan pembeli terhad dek pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
Bagi memastikan proses simpanan dan agihan cekap lagi sistematik, penggunaan teknologi pintar diguna pakai menerusi jalinan kerjasama dengan sektor swasta.
Proses simpanan menggunakan sistem ‘First In, First Out’ iaitu produk yang masuk terlebih dahulu dikeluar lebih awal bagi mengelakkan pembaziran atau kerosakan stok bekalan.
“Kalau kita keluarkan 500 kilogram (kg) beras, kita gantikan beras baharu dengan kuantiti sama. Sistem ini akan jamin bekalan supaya sentiasa ada,” kata Ir Izham.
Jualan murah
Tidak timbul isu barangan terlalu lama terperam dalam gudang. Ini kerana proses pengeluaran berlangsung pada saban minggu untuk kegunaan dalam program Jualan Ehsan Rahmah (JER) dan Ehsan Mart.
Dengan bekalan yang ada di gudang, program jualan murah itu juga terjamin pada masa depan. Langkah tersebut memanfaatkan penduduk dalam aspek ekonomi termasuk meringankan kos sara hidup mereka.
“Kita perlukan JER untuk pastikan bekalan GMS sentiasa elok,” kata Ir Izham lagi sambil menjelaskan program itu berlangsung menggunakan subsidi negeri.
Barangan ditawarkan antaranya ayam seekor pada harga RM12, daging pejal (RM10 sepaket), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 sepaket), minyak masak dua kg (RM10) serta beras lima kg (RM13).
Diperkenal sejak 2022, JER diteruskan lagi pada tahun ini meliputi lebih 1,700 lokasi termasuk jualan mega musim perayaan.
Setakat September tahun lalu, lebih 4,000 lokasi dikunjungi orang ramai dengan subsidi RM58.7 juta ditampung pentadbiran.
Tidak hairanlah harga jualan dalam JER kira-kira 30 peratus lebih rendah dari pasaran. Mekanisme itu menguntungkan semua pihak.
Petani tidak berdepan risiko harga menjunam. Pengguna khususnya golongan berpendapatan rendah pula menikmati harga murah.
Belanjawan Selangor 2025 memperuntuk RM30 juta kepada JER disusuli pembukaan 10 premis Ehsan Mart menjelang hujung tahun yang akan menawarkan barangan pada harga 10 hingga 15 peratus lebih murah daripada pasaran.
Setakat ini, Ehsan Mart beroperasi di Sungai Tua dan Pandan Indah manakala cawangan baharu di Hulu Kelang. Kerajaan Negeri menyasar pembukaan pasar raya itu meliputi 56 Dewan Undangan Negeri menjelang 2027.
GMS menjadi premis simpanan bekalan pertama seumpamanya di negara ini, sekali gus mengurangkan kos sara hidup rakyat berikutan kenaikan harga sukar dielak dan kerap berlaku.
Untuk aspek keselamatan pula, gudang itu didaftar bawah Agensi Pengurusan Bencana Negeri selain polis serta tentera. Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) turut membuat pemantauan berkala untuk menjamin mutu bekalan termasuk kesesuaian suhu.
Jangka panjang
Untuk jangka panjang, gudang berkenaan menjadi wadah simpanan makanan dalam kuantiti besar, tidak hanya tertumpu kepada karbohidrat dan sumber protein semata-mata.
PKPS yang bertanggungjawab dalam memenuhi sumber bekalan makanan negeri giat meneroka bidang baharu termasuk penternakan dan penanaman.
Justeru, tanaman padi seluas 15 ekar dijalankan di Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA), Barat Laut Selangor selain penggunaan tanah di Selangor Fruit Valley (SFV) di Rawang.
PKPS juga meneroka bidang ternakan lembu dan ayam supaya hasilnya kelak dapat disimpan di gudang tersebut.
Anak syarikat negeri itu juga menitikberatkan sumber fiber seperti sayur dan buah, sekali gus melengkapkan rantaian keperluan makanan berkhasiat untuk rakyat. Piramid makanan lengkap sepenuhnya.
Pada masa depan, gudang tersebut beroperasi di bangunan sendiri di Kuala Selangor di kawasan seluas 4.046 hektar dan dalam proses dokumentasi kira-kira tiga tahun lagi, tidak lagi menggunakan perkhidmatan syarikat luar.
“Ia mengambil masa satu tahun setengah untuk siap apabila proses pembinaan telah bermula,” kata Amirudin.
[caption id="attachment_692738" align="aligncenter" width="1304"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melakukan gimik pelancaran Gudang Makanan Selangor (GMS) daging sejuk beku satu juta kilogram Kerajaan Negeri di Tiong Nam Logistic, Pelabuhan Klang, Klang pada 22 Mac 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]