ad
AGENDA

Dua atlet Selangor wakili Malaysia ke Kejohanan Luncur Ombak Asia 2025

31 Jul 2025, 6:23 AM
Dua atlet Selangor wakili Malaysia ke Kejohanan Luncur Ombak Asia 2025

SHAH ALAM, 31 JULAI: Dua atlet Selangor terpilih mewakili negara ke Kejohanan Luncur Ombak Asia 2025 yang berlangsung di Mahabalipuram, Tamil Nadu, India dari 3 hingga 12 Ogos ini.

Persatuan Luncur Ombak Selangor (SSA) memaklumkan atlet terbabit ialah Nurain Mat Isa yang bersaing dalam kategori terbuka wanita dan Lucas Santiago Wehle, peserta dalam kategori terbuka lelaki dan remaja lelaki bawah 18 tahun.

Menurut SSA, pemilihan kedua-dua atlet merupakan hasil kejayaan program pembangunan bakat dan latihan intensif yang digerakkan peringkat negeri dan kebangsaan, selain pencapaian mereka dalam kejohanan tempatan dan antarabangsa.

Nurain kini berada di ranking kedua kebangsaan bagi Women Shortboard manakala Lucas menduduki tempat pertama bagi kategori remaja (Gromet). Pemilihan ini satu pengiktirafan terhadap usaha berterusan SSA dalam melahirkan atlet bertaraf antarabangsa.

"Kejohanan itu turut menjadi medan kelayakan ke Sukan Asia 2026 di Nagoya, Jepun, menjadikannya penting bagi menentukan hala tuju atlet ke kejohanan lebih berprestij.

"Penyertaan ini juga sebahagian daripada Projek Khas 3 Sukan Olimpik yang digerakkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai persediaan menghadapi Sukan Olimpik Los Angeles 2028," kata SSA menerusi kenyataan.

Kontinjen Malaysia ke kejohanan tersebut dibarisi enam atlet lelaki dan wanita, disertai pegawai serta jurulatih.

SSA berharap pencapaian itu mendapat sokongan padu semua pihak bagi memastikan pembangunan sukan luncur ombak terus diperkasa khususnya di Selangor.

“Kami mendoakan kejayaan Nurain, Lucas dan seluruh kontinjen Malaysia. Semoga mereka dapat mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa. SSA untuk Malaysia, Selangor ke pentas dunia,” kata kenyataan itu lagi.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.