ad
AGENDA

PM: Trump hadir ke Sidang Asean KL Oktober depan

31 Jul 2025, 4:48 AM
PM: Trump hadir ke Sidang Asean KL Oktober depan

SHAH ALAM, 31 JULAI: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengesahkan kehadiran ke Sidang Kemuncak Asean ke-47 di Kuala Lumpur, Oktober depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga pengerusi ASEAN berkata pengesahan itu dibuat dalam perbualan telefon bersama Trump jam 6.50 pagi tadi.

Perdana menteri berkata demikian sebelum membentangkan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Anwar memaklumkan Trump turut bersetuju untuk menangguhkan pengumuman kadar tarif baharu selepas perbincangan melalui panggilan itu.

“Hasil beberapa penjelasan yang saya sampaikan, beliau (Trump) memutuskan untuk menangguhkan pengumuman kadar tarif yang sepatutnya dibuat keesokan hari.

“Kita berdoa agar pengumuman itu tidak akan membebankan ekonomi negara kita,” katanya lagi.

Sebelum ini, AS memutuskan untuk mengenakan tarif import sebanyak 25 peratus ke atas semua produk dari Malaysia bermula esok (1 Ogos).

Pada masa sama, Trump mengucapkan tahniah kepada perdana menteri atas kejayaan memimpin rundingan gencatan senjata Kemboja dengan Thailand pada Isnin.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.