ad
AGENDA

RMK13: Kerajaan sasar capai KDNK hingga 5.5 peratus setahun

31 Jul 2025, 5:25 AM
RMK13: Kerajaan sasar capai KDNK hingga 5.5 peratus setahun

SHAH ALAM, 31 JULAI: Kerajaan menyasarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) antara 4.5 hingga 5.5 peratus setahun sepanjang tempoh pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sasaran sepanjang tempoh 2026 hingga 2030 itu dipacu terutamanya oleh permintaan domestik melalui penggunaan dan pelaburan sektor swasta.

“Eksport kasar negara dijangka meningkat sebanyak 5.8 peratus setahun dengan peluang perdagangan yang lebih luas.

“Sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan kekal sebagai sumber utama pertumbuhan yang disumbang oleh peralihan kepada ekonomi berasaskan penciptaan nilai,” katanya ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Anwar lagi, kerajaan turut menyatakan komitmen untuk mengurangkan defisit secara berperingkat kepada bawah 3 peratus daripada KDNK termasuk mengawal paras hutang kerajaan agar tidak melebihi 60 peratus daripada KDNK.

“Pendapatan negara kasar (PNK) per kapita disasarkan meningkat kepada RM77,200 dan dijangka melepasi nilai ambang negara berpendapatan tinggi,” ujarnya lagi.

Beliau yang juga menteri kewangan memberitahu pasaran buruh negara pula dijangka bertambah baik dengan bahagian pampasan pekerja kepada KDNK mencapai 40 peratus.

“Kadar pengangguran dijangka mencapai tahap guna tenaga penuh menjelang 2030,” jelasnya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.