Oleh G Manimaran
ANALISIS: Pukul 12 tengah hari ini, rakyat akan disajikan dengan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), bagi tempoh 2026 hingga 2030, dilihat akan bersandarkan kepada 16 fokus teras yang berhasrat untuk melonjakkan Malaysia ke barisan hadapan ekonomi Asia, dan pada masa yang sama meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Mengambil kira peruntukan Belanjawan 2025, yang paling tinggi dalam sejarah ekonomi negara, RMK13 juga bakal menyediakan dana lebih besar bagi merancakkan ekonomi negara sepanjang lima tahun akan datang.
RMK12 yang berakhir tahun ini, dilancarkan pada 2021, menyediakan RM400 bilion untuk merealisasikan kesemua agenda pembangunan negara. Bagaimanapun dana untuk RMK12 telah ditambah semasa pembentangan Kajian Separuh Penggal, yang dibawa ke Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September 2022, 10 bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-15.
Berbanding RMK12, RMK13 dibentangkan lima bulan lebih awal sebelum bermulanya tahun pertama pelaksanaan pelan pembangunan. Ini keunikan pertama.
“RMK12 memperuntukkan RM400 bilion bagi membiayai projek pembangunan sambungan dan baharu untuk tempoh lima tahun.
“Bagi tempoh dua tahun yang pertama, prestasi perbelanjaan sebenar ialah 34 peratus. Tahun 2021, jumlah perbelanjaan pembangunan hanyalah sebanyak RM64.3 bilion, 2022 jumlahnya adalah sebanyak RM71.6 bilion.
“RMK12 akan dijajarkan semula dengan visi Ekonomi MADANI, yang menyasarkan pemerkasaan dan merancakkan ekonomi negara untuk tempoh 10 tahun. Kerajaan komited untuk membelanjakan sekurang-kurangnya RM90 bilion setahun bagi tahun 2023 hingga 2025,” kata beliau.
Anwar yang seterusnya berkata: “Ini bermakna, kerajaan akan membelanjakan sepenuhnya peruntukan RM400 bilion di bawah RMK12, malah menambah siling sebanyak RM15 bilion lagi, menjadikan jumlah keseluruhannya RM415 bilion.”
“Peningkatan ini adalah bagi menambah keperluan untuk membiayai bidang keutamaan rakyat di samping memperbaiki mutu pengurusan dan menyasarkan semula subsidi bagi menampung keperluan asas rakyat,” tambah beliau.
RMK13 merupakan dokumen pertama di bawah Kerajaan Perpaduan yang dibentuk susulan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15, diterajui oleh Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak (GRS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan sejumlah parti individu – kerajaan campuran penuh selepas PRU. RMK12 dibentangkan setahun selepas kerajaan PH plus tumbang 22 tahun selepas mengetuai kerjaaan pusat.
RMK13 merupakan dasar perancangan penuh pertama bagi Anwar sejak dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 pada November 2022. Pada Oktober lalu beliau membentangkan belanjawan dengan dana terbesar dalam sejarah iaitu RM421 billion, termasuk belanja pembangunan sebanyak RM86 bilion, untuk melaksanakan 120 ikhtiar.
Dan, mengambil kira sejumlah insentif yang diberikan di bawah Pengumuman Penghargaan oleh kerajaan pada Rabu lalu, dipercayai bahawa penggubalan RMK13 dirombak susulan peletakkan jawatan oleh Menteri Ekonomi, Datuk Rafizi Ramli, dana dan peruntukan bagi rancangan kali ini akan ditambah bagi memenuhi keperluan dan cabaran, bukan sahaja dari dalam negari, tetapi luar negara termasuk pelaksanaan tarif baharu oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Berdasarkan maklumat awal yang dikongsi oleh Kementerian Ekonomi, terdapat 16 keutamaan dalam RMK13, iaitu reformasi pasaran buruh, reformasi fiskal, reformasi pendidikan, reformasi kesihatan, ekonomi hijau, ekonomi perak (warga emas), industri strategik bernilai tinggi, ekonomi biru, pengangkutan awam, keseimbangan wilayah, masyarakat progresif, reformasi perumahan, kesihatan alam sekitar, libat urus sektor ketiga, pembiayaan untuk pertumbuhan, dan kecekapan sektor awam.
Bertolak daripada 16 keutamaan itu, rata-rata input yang diperoleh daripada orang ramai, sama ada di media sosial mahupun sesi libat urus awam yang diadakan, oleh Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan (INPUMA), Universiti Malaya, fokus yang digariskan oleh Kementerian Ekonomi tidak lari jauh.
Rakyat pelbagai lapisan masyarakat mahukan kualiti kehidupan yang lebih baik, yang bersandarkan kepada beberapa faktor sokongan dan asas, antaranya keperluan berterusan untuk memerangi kemiskinan dan meningkatkan ekonomi negara, yang mana ia akan mencerminkan status sosioekonomi yang lebih baik sepanjang lima tahun akan datang. Malah, rakyat mahukan pendapatan isi rumah yang lebih baik berbanding sebelum ini, mengambil kira kos sara hidup yang terus meningkat.
Pada masa yang sama, rakyat mahukan upah dan gaji yang wajar, selain peluang pekerja yang selayak dengan kelayakan pendidikan. Malah, rakyat juga mahukan sistem pendidikan dan kemudahan pembelajaran, termasuk bilangan sekolah yang lebih baik didirikan di kawasan luar bandar.
Tidak ketinggalan dalam senarai harapan dan permintaan sistem dan kemudahan kesihatan lebih bermutu. Rakyat juga mahu kerajaan mengutamakan pembangunan aspek keterjaminan makanan, yang menjadi ‘senjata pertahanan’ negara dalam jangka panjang, sekali gus mengurangkan import pelbagai jenis sumber makanan yang dianggarkan RM70 bilion setahun.
Turut diharapkan rakyat ialah dasar kebajikan dan kepentingan golongan emas, terutama selepas bersara. Rakyat mahu kerajaan memberi tumpuan ke atas Agenda Negara Menua sebagai persediaan negara memandangkan Malaysia secara rasmi akan menjadi negara tua pada 2044 dengan 16 peratus rakyat berstatus pencen.
Pada 13 Jun lalu, Anwar berkata, RMK13 akan menjadi titik tolak kepada usaha kerajaan dalam menangani cabaran ekonomi negara, termasuklah kesenjangan pembangunan dan pendapatan, ruang fiskal yang terhad dan peralihan struktur ekonomi yang perlahan. Ujar beliau, RMK13 adalah antara dokumen dasar utama kerajaan untuk melaksanakan agenda Ekonomi Madani.
Berteraskan kerangka ekonomi MADANI, RMK13 bertujuan untuk melonjakkan Malaysia ke barisan hadapan ekonomi Asia sambil meningkatkan kualiti hidup rakyat.
RMK13 muncul dalam suasana ketidaktentuan global. Faktor seperti ketegangan geopolitik, peningkatan hutang awam dan swasta, serta ekonomi global yang terpecah menambah kerumitan dan ketidakpastian.
Malaysia berdepan cabaran struktur seperti peralihan ekonomi yang perlahan, kekurangan tenaga kerja mahir, dan pasaran buruh yang tidak kompetitif. Isu tambahan termasuk kos sara hidup yang meningkat, ketidaksamaan sosio-ekonomi dan ketidakseimbangan pembangunan wilayah. RMK13 akan menangani isu-isu ini melalui reformasi yang disasarkan, penambahbaikan tadbir urus dan pemajuan sektor berimpak tinggi seperti teknologi hijau dan inovasi digital.
Umumnya, RMK13 memberi tumpuan kepada empat megatrend utama yang akan membentuk masa depan:
Peralihan Blok Ekonomi – Malaysia perlu menyesuaikan strategi untuk merebut peluang perdagangan dan pelaburan di Asia. Pendapatan isi rumah dijangka meningkat seiring pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), namun hutang yang meningkat di negara maju menjadi cabaran.
Evolusi Teknologi dan Digital – Dengan kemajuan AI, data raya dan robotik, RMK13 bertujuan merapatkan jurang teknologi antara Malaysia dan negara maju melalui pelaburan dalam penyelidikan, inovasi dan infrastruktur digital.
Demografi dan Kualiti Hidup – Menjelang 2044, 20% penduduk Malaysia akan berusia lebih 65 tahun; RMK13 akan memenuhi keperluan warga emas sambil memastikan generasi muda mendapat pendidikan, penjagaan kesihatan dan peluang ekonomi yang berkualiti.
Krisis Alam Sekitar dan Iklim – RMK-13 mengintegrasikan amalan lestari untuk mencapai sasaran tenaga boleh diperbaharui dan iklim Malaysia, termasuk usaha mengurangkan kehilangan biodiversiti, mengurus risiko iklim dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.
Rancangan Malaysia bukan sekadar penyelesaian jangka pendek, tetapi langkah ke arah visi pembangunan jangka panjang Malaysia. Menurut Kementerian Ekonomi, aspirasi menjelang 2040 termasuk mewujudkan masyarakat produktif dan inovatif dengan taraf hidup yang tinggi dan persekitaran yang lestari. Ia mempromosikan teknologi hijau dan pembuatan termaju untuk membina ekonomi yang lebih tahan terhadap krisis masa depan.
RMK13 perlu memfokuskan kepada pertumbuhan hijau, peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui dan pengukuhan keselamatan makanan. Contohnya, sasaran untuk meningkatkan pengeluaran makanan sebanyak 60% dan mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 50% menjelang 2050. RMK-13 juga berhasrat meningkatkan kesejahteraan awam melalui akses kepada perumahan mampu milik, penjagaan kesihatan sejagat dan perlindungan sosial – bagi mengurangkan jurang pendapatan dan melindungi golongan rentan.
RMK13 perlu datang dalam pembaharuan menyeluruh. Kita mengharapkan pendekatan luar biasa berbanding 12 Rancangan Malaysia sebelum ini. Gaya penyampian laporan terkini jauh berbeza dan berwarna-warni dengan puluhan infografik menawan. Diyakini, tujuan, matlamat dan teras kali juga akan jauh berbeza lagi mantap demi kesejahtaraan rakyat dan negara.
Selaras dengan fokus teras RMK13, sekurang-kurangnya 16 isu perlu dititkberatkan untuk menjadi Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi, dan diiringi dengan dasar untuk meningkat dan memartabatkan kehidupan berkualiti tinggi. Isu-isu dimaksudkan ialah menoktahkan kemiskinan, mengharungi kos sara hidup yang terus meningkat, meningkatkan pendapatan isi rumah, memerangi jenayah, menguruskan komuniti menua, mewujudkan peluang pekerjaan setara dengan kelayakan akademik bagi graduan, mengimbangi pembangunan di antara wilayah, memfokus usaha mengurangkan kemalangan jalan dan lebuh raya, mengurangkan impak perubahan iklim termasuk banjir di seluruh negara, dan keterjaminan makanan.
Manfaat dasar dan projek yang digariskan termasuklah bagi Selangor, negeri yang dikategorikan sebagai negeri paling maju dan kaya di Malaysia. Berdasarkan maklumat yang dikeluarkan baru-baru ini, Selangor telah membuktikan dirinya sebagai enjin ekonomi Malaysia, dengan mencatat Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tertinggi sepanjang masa sebanyak RM432.1 bilion pada tahun 2024 – yang tertinggi di Malaysia.
Pencapaian itu menandakan peningkatan ketara daripada RM406.1 bilion pada tahun 2023, menjadikan Selangor sebagai negeri pertama dan satu-satunya yang melepasi paras RM400 bilion untuk dua tahun berturut-turut. Angka terkini itu mengukuhkan peranan Selangor sebagai penyumbang ekonomi utama negara, dengan sumbangan sebanyak 26.2 peratus daripada keseluruhan KDNK Malaysia, meningkat daripada 25.9 peratus pada tahun sebelumnya.
Pastinya, RMK13 akan menarik perhatian pihak, termasuk Selangor dilihat akan kekal memainkan peranan signifikan ketika kerajaan pusat pula diletakkan harapan agar terus memfokus dalam mengimbangkan pembangunan di setiap wilayah.
Justeru itu, RMK13 dilihat akan berlandaskan kepada falsafah ekonomi MADANI dengan tiga keunikan besar.