KUALA LUMPUR, 30 JULAI: Kira-kira 88,000 usahawan telah menyertai inisiatif Platform Selangor (PLATS) untuk meluaskan capaian pasaran sekali gus memperkukuh perniagaan mereka.
Pengurus Kanan merangkap Pengarah Projek PLATS Siti Nur Hazwani Md Sabudin berkata program digitalisasi yang diperkenal pada 2020 kini memberi manfaat kepada puluhan ribu usahawan terutama kategori perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
“PLATS diperkenal ketika negara dilanda Covid-19 sebab memikirkan nasib peniaga susulan pandemik. Kita mahu kumpulkan peniaga terutama kategori peniaga mikro di bawah satu bumbung bagi memudahkan penyelarasan bantuan dan sebagainya.
“Ketika mula diperkenal pada 2020, hanya kira-kira 133 peniaga menyertainya. Kini hampir memasuki tahun keenam penubuhan PLATS, kira-kira 88,000 peniaga telah menyertainya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi perkongsian bertajuk Selangor Memperkasa Usahawan Tempatan sempena Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Peringkat Kebangsaan 2025 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.
[caption id="attachment_713137" align="aligncenter" width="700"] Tapak Pavilion Selangor di Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Peringkat Kebangsaan 2025 di MITEC Kuala Lumpur pada 30 Julai 2025. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR.[/caption]
Beliau berkata melalui kerjasama dengan agensi pelaksana negeri, PLATS memperkenalkan empat modul pembangunan usahawan di bawah program Latihan Pembangunan Usahawan Plats (U-PLATS) merangkumi U-PLATS Digital, U-PLATS Halal, PLATS Biaya dan U-PLATS Expand.
Jelasnya, gabungan keempat-empat modul ini bukan sahaja menutup jurang digital dan kewangan, malah membina daya tahan perniagaan yang lebih kukuh dalam kalangan usahawan kecil dan mikro di Selangor.
“Kita bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam modul U-PLATS Digital yang dikendalikan Selangor Youth Community (SAY) untuk melatih usahawan dalam pendigitalan termasuklah pemberian Sistem Point of-Sale (POS) kepada mereka yang layak.
“Melalui POS transaksi pembayaran digital boleh dilakukan selain maklumat jumlah stok, statistik jualan semuanya tersedia di dalam sistem ini.
“Daripada U-PLATS Digital itu, peserta ditapis bagi memastikan yang benar-benar layak ke peringkat seterusnya iaitu U-PLATS Halal dikendali Halal International Selangor (HIS). Hasilnya, lapan daripada 10 peniaga terpilih bagi program U-PLATS Siri Pertama berjaya memperoleh pensijilan halal sekali gus mencatatkan kadar kejayaan 80 peratus," katanya.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata PLATS adalah ekosistem menyeluruh yang memberi ruang kepada usahawan tempatan untuk berkembang melalui akses kepada latihan, pembiayaan dan jaringan pasaran.