SHAH ALAM, 30 JULAI: Projek Jajaran Rel Kita Selangor kini memasuki fasa meneroka strategi pembiayaan dan mencari rakan pelaburan bagi memastikan pelaksanaan berjalan secara mampan serta memberi manfaat maksimum kepada rakyat.
Dato' Menteri Besar berkata perbincangan diadakan bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan perunding yang dilantik, HSS Integrated Sdn Bhd bagi membincangkan potensi kerjasama dalam pelan jangka panjang yang bakal memperkukuh rangkaian pengangkutan awam di Selangor.
"Sistem rel ini dirancang bagi menghubungkan kawasan utama di negeri itu dengan jaringan moden yang mesra pengguna, termasuk sambungan terus ke Selangor Aero Park sebagai hab penerbangan dan logistik masa depan.
"Pembangunan ini dijangka mengurangkan kesesakan lalu lintas melalui pengangkutan awam serta merangsang pertumbuhan ekonomi dengan meningkatkan mobiliti tenaga kerja dan pelaburan. Ia juga menjadi asas penting dalam perancangan dan pelaksanaan teknikal fasa-fasa seterusnya," kongsi Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook.
Beliau berkata pentadbiran negeri komited memperkukuh ekosistem pengangkutan awam yang bersepadu dan inklusif, merangkumi kawasan bandar, pinggir bandar dan luar bandar agar manfaatnya dapat dirasai secara menyeluruh.
"Selangor terus memberi tumpuan memperkukuh ekosistem pengangkutan awam yang bukan sahaja bersepadu, tetapi juga mampu menjangkau kawasan pinggir bandar dan luar bandar agar rakyat mendapat manfaat seimbang.
"Terima kasih kepada semua pihak yang telah berkongsi pandangan dan kepakaran. Ini merupakan langkah awal ke arah sistem rel yang lebih mampan untuk masa depan Selangor yang maju, makmur dan berdaya huni," ujarnya.
Pembinaan Jajaran Rel Selangor dijangka mengambil masa sehingga 10 tahun yang akan dilaksana secara berperingkat melibatkan pelbagai fasa.
Pada pembentangan Belanjawan Negeri 2024, Amirudin mengumumkan pembangunan jajaran Rel Kita Selangor yang akan dimulakan menerusi kajian kebolehlaksanaan dengan peruntukan RM3 juta.
Pada Februari lalu, EXCO mobiliti Ng Sze Han berkata kajian kebolehlaksanaan projek rel berkenaan telah mengenalpasti jajaran sepanjang 200km dengan empat cadangan jajaran sokongan iaitu di Pelabuhan Barat, Klang, Putra Heights, dan Universiti Selangor (Unisel) Bestari Jaya.