ad
AGENSI

Usaha banteras jenayah di Kajang diperhebat, MPKj dan komuniti ganding tenaga

30 Jul 2025, 11:30 AM
Usaha banteras jenayah di Kajang diperhebat, MPKj dan komuniti ganding tenaga
Usaha banteras jenayah di Kajang diperhebat, MPKj dan komuniti ganding tenaga

Oleh Aida Nyan

SHAH ALAM, 30 JUL: Usaha membanteras jenayah di Kajang terus dipertingkat menerusi kerjasama antara pihak berkuasa tempatan dan komuniti setempat, susulan kawasan itu mencatat kes jenayah tertinggi di Selangor.

Wakil rakyatnya David Cheong berkata pelbagai inisiatif dijalankan termasuk rondaan komuniti secara berkala oleh persatuan penduduk setempat dengan sokongan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

“Persatuan penduduk Kampung Sungai Kantan antara yang paling aktif. Mereka buat rondaan malam lengkap dengan peralatan keselamatan. Saya percaya kawasan itu hampir tiada kes,” katanya kepada Media Selangor.

Menurut beliau, pendekatan bersemuka bersama komuniti setempat, khususnya di kawasan berisiko membolehkan pemantauan dan pencegahan jenayah dilakukan dengan lebih berkesan.

Antara program utama yang dilaksanakan termasuk inisiatif Bandar Selamat, yang menyalurkan jaket keselamatan, peralatan rondaan dan sokongan logistik kepada pasukan rukun tetangga (RT) yang kini mula menunjukkan kesan positif.

[caption id="attachment_713076" align="aligncenter" width="729"] Anggota Balai Polis Kajang bersama Komuniti Rukun Tetangga Sungai Kantan mengadakan rondaan pencegahan jenayah di kawasan berkenaan pada 2 Februari 2025. Foto Facebook Balai Polis Kajang[/caption]

David menjelaskan, faktor geografi dan kepadatan penduduk menjadi antara penyumbang kepada kadar jenayah yang tinggi di kawasan berkenaan.

“Kajang meliputi hampir 73,000 ekar, merangkumi sempadan Negeri Sembilan hingga ke Kuala Lumpur. Dengan lebih 1.3 juta penduduk, memang mencabar untuk pantau semua kawasan,” katanya.

Beliau turut membangkitkan kekangan dari segi infrastruktur keselamatan, termasuk Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang yang kini berusia lebih 100 tahun.

“Kerajaan Persekutuan perlu segera sediakan peruntukan bagi membina IPD baharu yang lebih moden. Tanah di Bangi sudah dikenal pasti, hanya tunggu tindakan lanjut.

“Dalam perbincangan saya bersama Ketua Polis Daerah sebelum ini, dimaklumkan terdapat lebih 90 kawasan titik panas, tetapi hanya 110 pegawai ditugaskan. Ini tidak mencukupi untuk liputan kawasan seluas ini, apatah lagi dengan bilangan kampung dan kawasan rumah kos rendah yang tinggi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar usaha pencegahan jenayah diperluas termasuk pelaksanaan ceramah keselamatan, kempen kesedaran awam serta program pendidikan di sekolah dan kawasan berisiko tinggi.

Sebelum ini, media melaporkan Kajang antara tiga daerah di Selangor yang merekodkan kadar jenayah tertinggi, selain Gombak dan Klang, berdasarkan kenyataan bekas Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.