ad
AGENDA

Pergaduhan tular: Empat murid digantung sekolah, 14 lagi dapat surat amaran

30 Jul 2025, 6:47 AM
Pergaduhan tular: Empat murid digantung sekolah, 14 lagi dapat surat amaran

SHAH ALAM, 30 JUL: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menggantung persekolahan empat murid dan mengeluarkan surat amaran kepada 14 yang lain susulan pembabitan dalam kes pergaduhan yang tular di media sosial.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata tindakan tegas itu diambil bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan warga sekolah terus terpelihara.

“KPM tidak akan berkompromi terhadap sebarang insiden yang menjejaskan keselamatan institusi pendidikan. Kami akan pastikan ekosistem sekolah kekal selamat untuk semua,” katanya dalam kenyataan selepas melawat sekolah berkenaan pagi tadi.

Menurut Fadhlina, murid yang digantung akan mengikuti program khidmat masyarakat anjuran Pejabat Pendidikan Daerah sebagai sebahagian proses pemulihan.

“Sesi kaunseling turut dijalankan sebagai langkah intervensi untuk membimbing murid terlibat agar berubah ke arah lebih positif dengan menerapkan nilai-nilai murni,” katanya.

Terdahulu, insiden pergaduhan dipercayai berlaku di tandas sebuah sekolah tular di media sosial selepas dimuat naik seorang pempengaruh.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.