SHAH ALAM, 30 JULAI: Operasi memadam kebakaran di tapak pelupusan sampah haram seluas empat ekar di kawasan M Residence 2, Rawang giat dijalankan, yang kini mencapai 50 peratus tahap pemadaman.
Penolong pengarah operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata usaha pemadaman diteruskan secara "direct attack" dengan operasi mencecah 20 jam sehari.
Menurut Ahmad Mukhlis Mukhtar, pihaknya turut menggunakan dron dilengkapi pengesanan inframerah untuk mengenal pasti titik panas di kawasan kebakaran.
[caption id="attachment_711951" align="alignleft" width="347"] Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar[/caption]
“Terdapat beberapa titik panas di kawasan yang berlainan dan proses pemadaman sedang dijalankan dengan bantuan jengkaut,” katanya ketika dihubungi.
Selain anggota bomba, tambah beliau, operasi pemadaman turut melibatkan kekuatan dari Pejabat Tanah dan Galian, Pertubuhan Misi Bantuan Kemanusian Selangor (Pantas) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Sebelum ini Lembaga Urus Air Selangor memaklumkan pihaknya menyemak keadaan di tapak bagi mengenal pasti sebarang risiko dan impak kebakaran di kawasan itu terhadap sumber air berhampiran.
Ia termasuk Sungai Kundang yang mana alirannya akan memasuki Sungai Sembah dan akhirnya ke Sungau Selangor di mana terletaknya loji rawatan air (LRA) utama negeri iaitu LRA SSP1, SSP2 dan SSP3.
Pemerhatian lanjut LUAS mendapati tiada sebarang aliran sisa pemadaman di longkang berhampiran dan tiada aliran tercemar masuk ke Sungai Kundang yang terletak pada anggaran jarak dari lokasi kebakaran 1.5 kilometer.
Sehingga jam 8 malam tadi, verifikasi LUAS di tapak mengesahkan tiada risiko pencemaran kepada Sungai Kundang dan keadaan semasa sungai adalah baik dan terkawal.