Oleh Ufairah Tarmidzi
SHAH ALAM, 30 JULAI: Pengiktirafan yang diterima menerusi Program Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Selangor 2025 menjadi dorongan kepada penerima untuk menyumbang kepada pembangunan belia dan negeri.
Pembahas Terbaik, Muhammad Fareez Ashraf Noh, 23, berkata anugerah itu merupakan satu penghargaan besar dan amanah untuk beliau menyebarkan ilmu kepada golongan muda di negeri ini.
“Anugerah ini beri makna besar kepada saya. Ia mencabar saya untuk urus masa lebih bijak antara kerjaya dan tanggungjawab sebagai anak muda yang ingin berkongsi idea.
[caption id="attachment_712992" align="alignnone" width="814"] Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Lau Weng San (tengah) bergambar pada Sidang Dewan Muda Selangor 2025 di Wisma Dewan Negeri Selangor pada 29 Julai 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
“Selain itu, perbezaan pandangan dan pendapat yang datang daripada peserta lain itu juga secara tidak langsung menjadikan sesi perbincangan lebih menarik,” katanya.
Beliau ditemui pada program berkenaan semalam, menyaksikan perbahasan hangat dengan usul berkaitan pendidikan yang akan dibawa ke Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) November ini.
Muhammad Fareez turut menyarankan supaya program tersebut mempunyai tema khusus pada masa hadapan untuk membantu peserta lebih fokus dalam memperluas skop hujahan mereka.
[caption id="attachment_713029" align="alignleft" width="345"] Penerima Anugerah Peserta Terbaik, Muhammad Aliff Mohd Ghazali[/caption]
Manakala Peserta Terbaik, Muhammad Aliff Mohd Ghazali, 30, pula menyifatkan pengiktirafan itu sebagai rezeki tidak diduga memandangkan beliau orang kurang upaya (OKU) penglihatan, namun turut dirai sama seperti peserta hebat yang lain.
“Alhamdulillah, saya bersyukur sangat kerana dinobatkan sebagai salah seorang peserta terbaik dalam program ini walaupun sedar yang saya mempunyai kekurangan.
“Namun, semua peserta saling menyokong saya dan tiada istilah layanan berbeza dipratikkan. Saya berharap belia di Selangor sertai program ini supaya mereka lebih faham peranan wakil rakyat dan institusi,” jelasnya.
Tambah Aliff, program itu juga menjadi ruang terbaik untuk belia yang selama ini hanya lantang mengkritik di media sosial, namun jarang terlibat secara langsung dalam memahami struktur tadbir urus negeri.
[caption id="attachment_713030" align="alignright" width="347"] Penerima Anugerah Peserta Terbaik, Nur Damia Batrisyia Azman[/caption]
Seorang lagi Peserta Terbaik, Nur Damia Batrisyia Azman, 21, berkata pengiktirafan itu menjadi motivasi buat beliau sebagai pelajar Fakulti Pendidikan (TESL) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam untuk terus melangkah ke hadapan.
“Kerjasama antara peserta baik yang mewakili kerajaan mahupun pembangkang, mereka banyak membantu sebagai persiapan sebelum menghadapi sesi perbahasan.
“Program ini juga mengajar saya bahawa Persidangan DNS bukan hanya berkisar soal politik semata-mata tetapi tentang apa yang rakyat perlukan,” tambahnya.
Program ADN Muda Selangor dengan kerjasama Persatuan Pendemokrasian Sosial dan Ahli Parlimen Belia Selangor dibuka kepada pelajar serta belia yang berumur dari 18 hingga 35 tahun.
Penganjurannya sejak 2013 lalu itu merupakan program khas bawah DNS bagi melahirkan belia yang kritis khususnya terhadap polisi Kerajaan Negeri.