OLEH UFAIRAH TARMIDZI
SHAH ALAM, 29 JULAI: Hari kedua Program Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Selangor 2025 kali ini menyaksikan perbahasan hangat dengan usul berkaitan pendidikan dipilih untuk dibawa ke Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) yang dijadual berlangsung November nanti.
Speaker DNS, Lau Weng San berkata para peserta menunjukkan potensi yang tinggi ketika berhujah dan membentangkan idea-idea bernas tanpa sebarang pengaruh politik.
“Ramai peserta yang menunjukkan bakat luar biasa mereka dengan lantang bersuara dan mampu mengemukakan hujah yang konstruktif.
[caption id="attachment_712991" align="aligncenter" width="678"] Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Lau Weng San pada Sidang Dewan Muda Selangor 2025 di Wisma Dewan Negeri Selangor pada 29 Julai 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
“Peluang ini sangat bermanfaat kerana mereka turut diberi pendedahan sebenar kepada proses membuat dasar dan pelaksanaan di peringkat negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Selangor 2025 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Weng San memaklumkan ketika majlis jamuan makan malam bersama Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari semalam, beliau turut memberi sokongan penuh terhadap penganjuran program tersebut.
Tambah beliau, Amirudin juga memberi cadangan untuk memperluaskan skop penglibatan peserta dalam program ADN Muda dengan memberi mereka peluang menyertai program lapangan secara langsung bersama ADN atau EXCO.
[caption id="attachment_712993" align="aligncenter" width="687"] Antara ADN Muda yang hadir menyampaikan perbahasan pada Sidang Dewan Muda Selangor 2025 di Wisma Dewan Negeri Selangor pada 29 Julai 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
Menurut Weng San, semua ucapan dan idea yang diketengahkan oleh peserta ADN Muda akan didokumenkan dan digunakan sebagai rujukan untuk pembangunan dasar negeri pada masa akan datang.
Program ADN Muda tahun ini mendapat sambutan menggalakkan apabila 166 permohonan diterima melibatkan penyertaan belia bawah 35 tahun meningkat kepada 84 peratus berbanding 73 peratus tahun lalu.
Program ini turut mencipta sejarah apabila menerima penyertaan daripada seorang peserta orang kurang upaya (OKU) penglihatan yang pertama sekali gus membuktikan pendekatan program itu semakin progresif dan inklusif.
[caption id="attachment_712995" align="aligncenter" width="703"] Antara ADN Muda yang hadir menyampaikan pembahasan pada Sidang Dewan Muda Selangor 2025 di Wisma Dewan Negeri Selangor pada 29 Julai 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]