SHAH ALAM, 29 JULAI: Kerajaan Selangor dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menganjurkan pelbagai program bagi membantu pencari kerja termasuk individu kehilangan pekerjaan.
EXCO Sumber Manusia V Papparaidu berkata antara inisiatif dilaksanakan ialah Karnival Kerjaya dan Padanan Kerja selain Jelajah Selangor JobCare yang menyediakan sesi temu duga secara terbuka oleh majikan.
Jelas beliau, Pusat Satelit MYFutureJobs kendalian Perkeso juga menyediakan khidmat kaunseling kerjaya kepada individu kehilangan pekerjaan.
“Jelajah Selangor JobCare merupakan inisiatif hasil kerjasama strategik antara Kerajaan Selangor dan Perkeso yang dirangka bagi menangani isu pengangguran secara holistik.
“Program ini bukan sahaja menawarkan peluang pekerjaan secara langsung, malah merangkumi pelbagai komponen penting seperti khidmat nasihat kerjaya, intervensi latihan kemahiran bersama agensi teknikal dan industri,” katanya kepada Media Selangor.
Mengulas lanjut, Papparaidu berkata seramai 3,119 individu daripada 6,048 berjaya mendapat tempat dalam pekerjaan menerusi 244 program temu duga harian, mingguan dan karnival kerjaya, setakat 18 Julai lalu.
Beliau berkata Insentif Perkeso di bawah Sistem Insurans Pekerjaan turut menyediakan insentif kewangan kepada majikan yang menggaji dalam kalangan orang kurang upaya (OKU), bekas banduan dan warga emas.
“Dari Januari sehingga 18 Julai lalu, 114 permohonan majikan telah diluluskan yang memberi manfaat kepada 364 pekerja dalam kalangan OKU dan prospek penjara.
“Usaha bersepadu ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk berganding bahu bersama persekutuan dan agensi berkaitan dalam menyediakan sokongan bersasar dan berimpak tinggi kepada rakyat, khususnya dalam usaha mengurangkan kadar pengangguran di peringkat negeri,” katanya.