ad
AGENDA

Isu gencatan Thailand–Kemboja: MB tegur sikap tidak bertanggungjawab pemimpin PAS

29 Jul 2025, 10:55 AM
Isu gencatan Thailand–Kemboja: MB tegur sikap tidak bertanggungjawab pemimpin PAS

OLEH DEWI ABDUL RAHMAN

KUALA SELANGOR, 29 JULAI: Tindakan Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari, yang memperlekeh usaha perdamaian antara Thailand dan Kemboja dengan penglibatan Malaysia, disifatkan sebagai tidak matang dan tidak bertanggungjawab.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, kenyataan sinis tersebut mencerminkan kegagalan memahami peranan penting Malaysia dalam diplomasi serantau.

“Itulah watak sebenar beberapa pimpinan yang tidak bertanggungjawab. Sepatutnya kita sedar ada garis pemisah antara langkah politik dan kedaulatan serta masa depan negara,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menyambut baik tindakan pemimpin terbabit yang telah memohon maaf, namun berharap insiden seperti itu tidak berulang demi menjaga imej dan maruah negara di peringkat antarabangsa.

"Jadi yang pentingnya kita matang dalam situasi tersebut. Saya dengar dia sudah minta maaf, suatu langkah yang baik tapi kalau semua berfikir daripada awal tidak mengambil semua kesempatan untuk berfikir sebagai skor politik kita akan jadi lebih baik dan jauh lebih aman, jauh lebih stabil.

"Alhamdulillah kerajaan perpaduan menjamin kestabilan dan perpaduan dalam negara," katanya.

Terdahulu, Ahmad Fadhli menerusi hantaran di laman sosial memuat naik gambaran tiga watak binatang iaitu kambing dan biri-biri yang sedang berebut pisang dengan seekor monyet bertindak sebagai hakim berserta kapsyen: “kambing dan biri-biri seeloknya tidak perlu kepada monyet untuk menjadi orang tengah dalam kes berebut pisang,”.

Hantaran itu turut disertakan dengan tangkap layar laporan berita mengenai konflik Thailand dan Kemboja, sekali gus menerima kecaman orang ramai.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat bagi meredakan ketegangan di sepanjang sempadan yang dipertikaikan, hasil mesyuarat khas dipengerusikan beliau di Putrajaya.

Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai menghadiri mesyuarat berkenaan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.