KLANG, 29 JULAI: Rancangan Selangor Kedua (RS-2) dijangka dibentangkan kepada umum pada Jun tahun depan, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata rancangan itu dibentang berasaskan data sedia ada bagi memastikan hala tuju negeri berada pada landasan tepat.
"Sewaktu Rancangan Selangor Pertama (RS-1) dirangka, saya minta semua pegawai daerah dan pihak berkuasa tempatan merekodkan apa aktiviti di kawasan masing-masing dan fokusnya.
"Dari situ, kita wujudkan kluster ekonomi dan laksana RS-1 dengan menitikberatkan pembangunan wilayah sebagai strategi dengan melihat sesebuah lokaliti berdasarkan ekonomi serta masyarakatnya.
"Oleh itu, kita akan bentang RS-2 pada Jun depan berasaskan data sedia ada. Ia penting untuk dibentangkan kepada rakyat supaya dapat bentuk pemikiran dan hala tuju masyarakat lebih tepat termasuk dalam bidang pertanian," katanya ditemui pada majlis peluncuran laporan interim banci pertanian 2024 Selangor hari ini.
Pemukiman Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor bersama Amirudin pada 28 Februari membincangkan prestasi semasa RS-1 menerusi beberapa indikator utama.
Ia turut membincangkan kerangka awal RS-2 yang bakal menjadi hala tuju baharu pembangunan negeri mulai 2026 dalam memastikan Selangor kekal menjadi negeri peneraju ekonomi.
RS-1 diumum pada Julai 2022 bertujuan membentuk ekonomi mampan dan cekal demi menjamin kesejahteraan rakyat selain mencapai hasrat negeri menyumbang 30 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar menjelang 2025.
Melibatkan beberapa projek besar antaranya Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA) dan Projek Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS), ia juga merupakan pelan mendepani ekonomi global yang dijangka perlahan tahun hadapan.