KLANG, 29 JULAI: Bancian dalam sektor pertanian membantu negeri dalam merangka dasar baharu terutamanya menarik golongan muda menceburi bidang tersebut, kata Dato' Menteri Besar.
[caption id="attachment_712908" align="aligncenter" width="700"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama EXCO Infrastruktur dan Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim, Ketua Perangkawan Malaysia merangkap Pesuruhjaya Banci Pertanian 2024 Dato' Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin melakukan simbolik peluncuran laporan interim banci pertanian 2024 Negeri Selangor di Hotel Wyndham Acmar Klang pada 29 Julai 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
"Kali terakhir cerapan data pertanian dibuat pada 2005, maknanya hampir 20 tahun tidak dilakukan.
"Dengan data terbaharu ia beri petunjuk sama ada semua usaha pertanian dibuat selama ini beri impak atau ia beri peluang untuk tambah baik polisi tingkat pertanian.
"Secara keseluruhan, nilai jualan keseluruhan aktiviti pertanian negeri RM8.8 bilion dan kita percaya dengan usaha konsisten selepas ini pelbagai usaha dapat dilaksana," katanya.
[caption id="attachment_712912" align="aligncenter" width="694"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada Majlis peluncuran laporan interim banci pertanian 2024 Negeri Selangor di Hotel Wyndham Acmar Klang pada 29 Julai 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
Berhubung penglibatan belia dalam pertanian, Amirudin memaklumkan Kerajaan Negeri akan mengemukakan beberapa usaha dalam belanjawan atau Rancangan Selangor.
"Laporan menunjukkan hampir 45 peratus diceburi petani 60 tahun ke atas selain 32 peratus 46 tahun ke atas. Ini perlu diubah dan perlu jadikan pertanian sebagai aktiviti 'cool', baik dan mendatangkan hasil.
"Dulu pernah trend anak muda terlibat dengan pertanian tetapi ia tidak berlanjutan disebabkan tarikan-tarikan tertentu seperti kecerdasan buatan dan semikoduktor.
"Kita akan kemukakan dalam belanjawan atau Rancangan Selangor supaya ia beri keyakinan pada kelompok muda supaya bidang pertanian sebenarnya mendatangkan hasil yang baik," ujarnya.
Turut hadir, Ketua Perangkawan Malaysia, Dato' Sri Dr Mohd Uzir Mahidin dan EXCO Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Dato' Ir Izham Hashim.