ad
AGENDA

Polis cadang premis perniagaan di Selangor wajib pasang CCTV

29 Jul 2025, 7:33 AM
Polis cadang premis perniagaan di Selangor wajib pasang CCTV

SHAH ALAM, 29 JULAI: Pihak polis bercadang mewajibkan premis perniagaan di Selangor memasang kamera litar tertutup (CCTV), sebagai syarat operasi.

Bekas Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata perkara tersebut sedang dibincangkan bersama Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) sekali gus memperkukuh aspek keselamatan di kawasan komersial.

Beliau yang kini memegang jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) berkuat kuasa 21 Julai lalu berkata pemasangan CCTV terbukti membantu dari aspek pencegahan jenayah dan siasatan polis, lapor Astro Awani.

“Apabila ada kumpulan-kumpulan jenayah ini nampak kawasan yang ada CCTV, dia akan lari ke tempat yang lain. CCTV telah terbukti membantu bukan sahaja dalam penyiasatan jenayah, malah sebagai pencegah awal terhadap kejadian tidak diingini seperti rompakan atau vandalisme.

"Pihak polis turut menggalakkan penggunaan teknologi dron dan sistem pintar terutama di bandar utama seperti Klang dan Petaling Jaya yang telah menunjukkan hasil positif dari segi respons pantas.

"Kita juga mahu komuniti-komuniti seperti kejiranan pasang CCTV di kawasan strategik untuk memastikan kesejahteraan terjaga," jelasnya

Beliau berkata penggunaan dron membantu pasukan polis meronda kawasan yang luas dan memberi visual langsung kepada pusat kawalan semasa insiden kecemasan.

“Dari masa ke semasa kita akan tambahkan lagi unit dron kerana Ia boleh membantu dari segi melakukan pemantauan yang lebih efektif,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.