Oleh Nur Azyyati Omar
SHAH ALAM, 29 JULAI: Kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim di meja rundingan berjaya mendamaikan Thailand dan Kemboja sekali gus menyelamatkan Asean daripada terjerumus dalam kancah peperangan.
Penganalisis Politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Profesor Madya Dr. Mazlan Ali berkata pemilihan Malaysia sebagai perantara mencerminkan keyakinan tinggi negara luar kepada Perdana Menteri.
“Ini bukan kali pertama kerana sebelum ini di Myanmar pun, Datuk Seri Anwar yang buat rundingan dengan tentera dan negara Arab pun minta bantuan daripada beliau untuk menyelesaikan isu Palestin.” katanya kepada Media Selangor.
[caption id="attachment_712893" align="alignleft" width="428"] Penganalisis Politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Profesor Madya Dr. Mazlan Ali[/caption]
Menurut Mazlan, kredibiliti Anwar dalam menyelesaikan pertikaian menjadikannya sumber inspirasi kepada banyak negara yang sedang berdepan konflik.
Beliau menyifatkan keputusan Kemboja dan Thailand memilih Anwar sebagai orang tengah sebagai bukti jelas terhadap pengaruh Malaysia di bawah kepimpinan semasa.
“Di mata dunia begitu tinggi kerana beliau seorang pemimpin yang berpengaruh, tegas dan berprinsip. Keupayaan Anwar menjadi sumber inspirasi kepada kebanyakan negara yang cuba menyelesaikan masalah yang berlaku. Ini pada saya tidak ada pada pemimpin yang sebelumnya.” katanya.
Semalam Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat bagi meredakan ketegangan di sepanjang sempadan yang dipertikaikan, hasil satu mesyuarat khas yang diadakan di Putrajaya.
Anwar mengumumkan persetujuan itu selepas mempengerusikan mesyuarat khas antara Thailand dan Kemboja di Kompleks Seri Perdana di sini.
Penyertaan pemerhati dari Amerika Syarikat dan China pula, menyerlahkan lagi kecekapan Malaysia dalam mengimbangi dua kuasa besar.
Peranan Anwar sebagai orang tengah menerima pujian meluas – bukan sahaja kerana berjaya meredakan ketegangan, namun juga kerana menghidupkan semula kredibiliti Asean dalam menangani pertikaian antara negara anggotanya.