SHAH ALAM, 29 JULAI: Kedudukan geografi Selangor yang strategik antara faktor negeri ini menjadi pusat aktiviti jenayah moden dan terancang.
Bekas Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan negeri ini mempunyai kilang-kilang dan juga pelbagai kawasan untuk dijadikan pusat aktiviti jenayah.
Beliau yang kini memegang jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) berkuat kuasa 21 Julai lalu berkata kemasukan pekerja asing yang ramai ke negeri ini turut menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah.
“Selangor dari segi ekonomi, sosial dengan penduduk yang dinamik, dan bilangan pekerja asing yang ramai menjadikan Selangor tumpuan kepada jenayah,” jelasnya program bual bicara Agenda AWANI, malam tadi.
Beliau berkata walaupun jenayah konvensional seperti curi motosikal dan pecah rumah menurun, jenayah berasaskan teknologi dan rangkaian terancang menunjukkan peningkatan.
"Jenayah terancang seperti pemerdagangan manusia, perjudian dan pengambilan dadah juga sangat tinggi di Selangor," ujarnya.
Menurut beliau, usaha membanteras jenayah ini bermula dengan struktur organisasi PDRM yang terdiri daripada 10 Jabatan berbeza dan ketua polis untuk kesemua 16 daerah.
PDRM juga sedang memperkukuh keupayaan anggota melalui latihan berkala serta penggunaan perisian analitik bagi memantau pola dan corak jenayah semasa.
“Kita ada pengisian yang boleh memberi data dan juga panduan bagaimana keadaan jenayah mengikut tempat dan masa, dan kita gunakan maklumat tersebut untuk mengurus operasi rondaan,” katanya lagi.
Beliau juga menekankan pentingnya komuniti awam berperanan sebagai mata dan telinga dengan melaporkan aktiviti mencurigakan di kawasan masing-masing.