ad
AGENSI

Jenayah di Selangor turun 13.3 peratus, strategi polis dan sokongan rakyat berhasil

29 Jul 2025, 4:17 AM
Jenayah di Selangor turun 13.3 peratus, strategi polis dan sokongan rakyat berhasil
Jenayah di Selangor turun 13.3 peratus, strategi polis dan sokongan rakyat berhasil

SHAH ALAM, 29 JUL: Kadar jenayah di Selangor mencatatkan penurunan sebanyak 13.3 peratus pada 2024 berbanding tahun sebelumnya hasil pelaksanaan strategi menyeluruh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di kawasan panas jenayah, kata bekas Ketua Polis Selangor.

Datuk Hussein Omar Khan memberitahu pendekatan berfasa yang memberi tumpuan kepada rondaan, kawalan lokasi berisiko tinggi dan libat urus bersama komuniti berjaya mencetuskan impak ketara terhadap keselamatan awam.

[caption id="attachment_707936" align="aligncenter" width="816"] Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan ketika sidang media laporan siasatan insiden kebakaran Putra Height di Bilik Gerakan Bangunan Annex pada 30 Jun 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]

“Bukan hanya rondaan, tetapi penglibatan aktif komuniti, organisasi tempatan dan inisiatif polis komuniti turut menyumbang kepada suasana yang lebih aman,” katanya dalam program bual bicara Agenda AWANI, malam tadi.

Beliau yang kini menggalas tanggungjawab sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman berkuat kuasa 21 Julai lalu, turut menegaskan kepentingan strategi responsif berdasarkan data dan maklum balas penduduk.

Katanya, penugasan Unit Motosikal dan MPV di lokasi berisiko tinggi membantu meningkatkan kecekapan rondaan, manakala strategi rondaan sentiasa dikemas kini mengikut situasi semasa termasuk waktu kemuncak dan titik panas baharu.

“Strategi rondaan sentiasa dikemas kini berdasarkan situasi semasa, termasuk pemantauan waktu kemuncak dan titik panas baharu,” katanya.

Langkah mendekati komuniti secara langsung turut dipertingkat menerusi penempatan pegawai khas di sekolah, rumah ibadat serta kawasan tumpuan umum, sekali gus memperkukuh jaringan keselamatan setempat.

Dalam masa sama, Hussein berkata elemen motivasi dalaman anggota turut diberi perhatian, termasuk pelaksanaan pertukaran sektor secara berkala serta penghargaan kepada pegawai yang menunjukkan prestasi cemerlang.

Tambah beliau, pendekatan mesra rakyat seperti program Hari Bertemu Pelanggan di balai daerah serta penggunaan aplikasi Voluntary Smart Patrol (VSP) juga berperanan mengeratkan hubungan pasukan polis dengan masyarakat.

Katanya, pendekatan menyeluruh yang diterapkan bukan sahaja membantu menurunkan kadar jenayah, malah meningkatkan keyakinan dan rasa selamat dalam kalangan penduduk.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.