ad
AGENDA

Peranan Malaysia damaikan Thailand–Kemboja terima pujian komuniti perniagaan serantau

29 Jul 2025, 3:28 AM
Peranan Malaysia damaikan Thailand–Kemboja terima pujian komuniti perniagaan serantau
Peranan Malaysia damaikan Thailand–Kemboja terima pujian komuniti perniagaan serantau

KUALA LUMPUR, 29 JUL: Persatuan Perniagaan Malaysia–Kemboja (MCBA) memuji peranan kepemimpinan Malaysia yang menjadi orang tengah kepada persetujuan gencatan senjata antara Thailand dengan Kemboja, susulan mesyuarat khas yang diadakan di Putrajaya semalam.

Presiden Pengasas MCBA Datuk Seri Ricky Yaw memuji Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas usaha diplomasi proaktif beliau, sambil menyatakan MCBA, sebagai platform khusus untuk kerjasama ekonomi serantau, mengalu-alukan kepemimpinan Malaysia dalam kapasiti sebagai Pengerusi Asean.

Beliau berkata kepemimpinan Anwar telah berjaya membawa pemimpin kedua-dua negara bertemu di Kuala Lumpur untuk mengadakan dialog segera berikutan ketegangan yang semakin memuncak di sepanjang sempadan Thailand–Kemboja.

"Gencatan senjata ini ialah langkah penting ke arah memulihkan keamanan dan kestabilan serantau. Kami merakamkan setinggi-tinggi penghormatan kepada Malaysia atas kepemimpinan yang ditunjukkan dalam melancarkan kejayaan ini.

"Pada masa yang sama, kami turut melafazkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai atas kebijaksanaan politik dan keberanian mereka dalam membuat keputusan bertanggungjawab demi kepentingan negara dan keamanan serantau," katanya dalam kenyataan hari ini.

[caption id="attachment_712844" align="aligncenter" width="812"] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku pengerusi Asean mengadakan mesyuarat bersama Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Phumtham Wechayachai di Putrajaya pada 28 Julai 2025. Foto IZZUDDIN ABD RADZAK/Pejabat Perdana Menteri[/caption]

Yaw berkata MCBA sebagai persatuan perniagaan serantau yang mempromosikan keamanan, perdagangan dan pelaburan, percaya bahawa pertumbuhan ekonomi mestilah berasaskan sikap saling menghormati, kerjasama serantau dan kestabilan jangka panjang.

"Kami menggesa semua negara anggota Asean untuk terus menyokong usaha diplomatik dan mekanisme pembinaan kepercayaan bagi mengelakkan ketegangan berterusan dan memperkukuh persefahaman bersama. Keamanan sentiasa menjadi asas kepada kemakmuran," katanya.

MCBA katanya, kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan di Kemboja dan Thailand dan seluruh rantau Asean untuk menggalakkan kewujudan bersama secara aman dan ketahanan ekonomi.

Semalam, Hun Manet dan Wechayachai bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat berhubung dengan isu pertikaian sempadan, hasil daripada mesyuarat khas yang dipengerusikan oleh Anwar di Putrajaya.

Dua negara jiran Asia Tenggara itu mempunyai sejarah panjang pertikaian diplomatik melibatkan 817 kilometer sempadan bersama yang belum dimuktamadkan.

Ketegangan antara Thailand dengan Kemboja mula memuncak sejak 28 Mei, susulan pertempuran antara tentera kedua-dua negara berhampiran kawasan Preah Vihear yang dipertikaikan, menyebabkan seorang anggota tentera Kemboja terkorban.

[embed]https://www.tiktok.com/@anwaribrahimofficial/video/7532147864101784839?lang=en[/embed]

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.