MERSING, 28 JULAI: Lelaki warga emas cedera pada bahagian telinga selepas diserang seekor gajah di hadapan rumahnya di Kampung Wak Salam di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Mersing Supt Abdul Razak Abdullah Sani berkata berdasarkan maklumat, mangsa yang berusia 64 tahun itu mahu ke surau untuk menunaikan solat Subuh, sebelum diserang haiwan liar berkenaan sehingga terjatuh.
"Mangsa kini dirawat di Hospital Sultan Ismail Johor Bahru kerana cedera di telinga. Setakat ini, tiada kecederaan serius dilaporkan," katanya ketika dihubungi.
Bagaimanapun, Abdul Razak berkata tiada laporan polis diterima berkaitan kejadian berkenaan.
- BERNAMA