ad
AGENDA

Kepimpinan Malaysia elak krisis serantau, serlah peranan Asean sebagai kuasa damai

28 Jul 2025, 1:26 PM
Kepimpinan Malaysia elak krisis serantau, serlah peranan Asean sebagai kuasa damai
Kepimpinan Malaysia elak krisis serantau, serlah peranan Asean sebagai kuasa damai

SHAH ALAM, 28 JULAI: Kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya menyelamatkan Asean daripada terjerumus ke kancah perang selepas Thailand dan Kemboja setuju untuk kembali ke meja rundingan, kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Perkembangan hasil rundingan yang diterajui oleh Malaysia hari ini bukan saja melegakan Asean tetapi menunjukkan kepimpinan Anwar di peringkat serantau.

"Kemampuan, ketenangan, dan sifat kenegaraan yang ditampilkan oleh Datuk Seri Anwar seharusnya menjadi model dan mekanisme penyelesaian semua pertikaian rantau di masa hadapan, melalui rundingan dan mediasi dengan keamanan sebagai asasnya.

"Hal ini kerana Asean tidak mampu ditarik ke medan perang," kata beliau dalam kenyataan malam ini.

Terdahulu, perdana menteri selaku Pengerusi Asean bertindak sebagai mediator dalam pertemuan penting antara Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai. Hasil rundingan itu membawa kepada persetujuan gencatan senjata tanpa syarat yang berkuat kuasa tengah malam ini.

Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata kepimpinan perdana menteri berjaya menyelamatkan Asean daripada terjerumus ke kancah peperangan susulan pertikaian di sepanjang 817 kilometer sempadan Kemboja–Thailand.

[caption id="attachment_712778" align="aligncenter" width="990"] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) ketika mesyuarat khas bersama Perdana Menteri Kemboja Hun Manet (kiri) dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai (kanan) di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya pada 28 Julai 2025. Mesyuarat itu diusahakan oleh Malaysia menerusi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi Asean. Foto BERNAMA[/caption]

"Kita telah melihat kesan perang di Eropah dan Afrika, dan kita telah melihat genosid di Timur Tengah. Pada ketika pemimpin kuasa besar tradisi seolah-olah mengabaikan nilai kehidupan, hari ini, Asean telah membuktikan bahawa perang dapat dan mesti dielakkan," kata beliau.

Amirudin menegaskan bahawa rantau Asia Tenggara tidak boleh menyokong sebarang bentuk peperangan dan hanya dapat terus berkembang melalui keamanan berterusan.

Beliau turut menyifatkan Kepengerusian Asean Malaysia pada 2025 sebagai bukti bahawa semua pertikaian sempadan boleh diselesaikan melalui kaedah rundingan yang berteraskan keamanan.

"Saya berpegang teguh kepada kepercayaan bahawa abad ini adalah abad Asia Tenggara bukan sahaja dari segi ekonomi, tetapi peluang Asean menampilkan nilai kebudayaan, prinsip kemanusiaan, kedaulatan undang-undang, kesemua ini adalah prinsip asas untuk kita membuktikan bahawa cara Asean mampu menjadi model demokrasi.

"Bagi merealisasikan hasrat sebegitu, kita harus mempertahankan keamanan," tambahnya.

Menerusi kenyataan sama beliau turut menyifatkan peranan perdana menteri hari ini sebagai detik bersejarah yang mengangkat suara Asean untuk didengar dan lebih dihormati di arena antarabangsa.

"

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.