Oleh Muhammad Rey Hazriell
SHAH ALAM, 28 JULAI: Program Kesihatan Warga Emas Negeri Selangor 2025 memberi peluang kepada warga emas menjalani pemeriksaan kesihatan percuma seterusnya mengenali tahap kesihatan mereka.
Bekas anggota tentera, Setiawati Hasim, 67, berkata program seperti ini penting kerana ramai warga emas tidak sempat membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala.
[caption id="attachment_712784" align="alignleft" width="500"] Setiawati Hasim, 67, bekas tentera. Foto Muhammad Rey Hazriell/MEDIASELANGOR[/caption]
“Saya ada pelbagai penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan kolesterol sebab itu saya ambil peluang bila ada program macam ini untuk tahu tahap kesihatan saya,” katanya.
Tambahnya, ramai dalam kalangan warga emas masih tidak mengetahui kondisi tubuh mereka kerana tidak biasa ke klinik atau hospital untuk saringan awal.
Beliau berharap program seumpama ini dapat diperluaskan ke kawasan lain termasuk luar bandar agar lebih ramai mendapat akses kepada kemudahan kesihatan.
Peserta lain, Zakaria Ali, 72, berkata beliau sendiri pernah menghidap penyakit batu karang dan kini lebih peka dengan kesihatan diri.
“Saya buat pelbagai ujian kesihatan di sini dan bagi saya program ini sangat bagus, tapi saya harap ia tak terhad kepada warga emas saja,” katanya.
[caption id="attachment_712785" align="alignright" width="500"] Zakaria Ali, 72, bekas tentera. Foto Muhammad Rey Hazriell/MEDIASELANGOR[/caption]
Menurutnya, mereka yang berusia 40-an dan 50-an juga perlu diberi peluang dan tak semestinya umur 60 ke atas sahaja mempunyai masalah kesihatan.
Program dilancarkan 31 Mei lalu itu menyediakan pelbagai jenis saringan termasuk tekanan darah, kadar gula, kolesterol serta pemantauan awal tanda keuzuran seperti kelesuan dan kelemahan fizikal.
Ia inisiatif Kerajaan Selangor untuk memastikan kesejahteraan warga emas melalui pendekatan kesihatan komuniti yang inklusif dan mudah diakses.