SHAH ALAM, 28 JULAI: Sekolah Kebangsaan Seksyen 6, di sini menerima sumbangan RM5,000 daripada pejabat Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik untuk menampung kos pembelian kabin penyimpanan alatan sukan.
Wakil rakyatnya Najwan Halimi berkata dana yang disalurkan melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) diharap dapat meringankan beban pihak sekolah, selain memastikan alatan sukan untuk kegunaan murid disimpan dengan baik.
"Sumbangan itu disalurkan pada 24 Julai kepada PIBG selepas pihak sekolah mengemukakan permohonan rasmi kepada pejabat ADN.
“Sekolah Kebangsaan Seksyen 6 merupakan sekolah yang sudah lama, jadi sekolah tersebut tidak mempunyai ruang yang cukup untuk penyimpanan barang-barang sukan sekolah. Jadi kita sediakan sumbangan untuk membeli kabin tersebut,” kongsinya di Facebook.
Beliau turut menggalakkan sekolah-sekolah lain untuk mengemukakan permohonan jika memerlukan bantuan bagi tujuan pendidikan atau pembangunan kemudahan.
“Permohonan akan dipertimbangkan mengikut keperluan dan pihak kami memang ada peruntukan tersedia kepada sekolah yang memerlukan bantuan daripada pihak kami,” tambah beliau.