SHAH ALAM, 28 JUL: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melancarkan Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Selamat Paru-Paru (Ops Selamat Papa) bermula 1 Ogos ini bagi memperkukuh kawalan terhadap penjualan produk merokok termasuk rokok elektronik (vape).
Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata operasi bersepadu itu bertujuan memastikan penguatkuasaan Akta 852 dapat dilaksanakan secara menyeluruh, bersepadu dan berkesan di seluruh negara.
[caption id="attachment_304321" align="aligncenter" width="844"] Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. Foto BERNAMA
[/caption]
“Ops ini membabitkan pelbagai jabatan dan agensi bagi memperkukuh penguatkuasaan undang-undang serta memastikan persekitaran yang lebih selamat serta bebas ancaman produk merokok termasuk rokok elektronik (vape),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan di Dewan Rakyat berhubung pendirian kerajaan terhadap langkah beberapa negeri yang menghentikan pengeluaran lesen perniagaan vape.
Dalam perkembangan sama, Dr Dzulkefly menyambut baik keputusan enam negeri iaitu Johor, Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Pahang yang tidak lagi mengeluarkan atau memperbaharui lesen penjualan vape.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan kawalan tersebut hanya melibatkan larangan penjualan di premis tertentu seperti kedai khas, dan tidak merangkumi kedai runcit atau serbaneka.
“Apa pun usaha dan agenda ke arah pengharaman vape adalah di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan.
“KKM rancang untuk mengadakan perbincangan terperinci bersama empat kementerian dan jabatan utama, iaitu Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Jabatan Peguam Negara,” katanya.