ad
AGENDA

Kerajaan bantu bawa pulang jemaah umrah terkandas, tindakan tegas terhadap ejen

28 Jul 2025, 5:38 AM
Kerajaan bantu bawa pulang jemaah umrah terkandas, tindakan tegas terhadap ejen

KUALA LUMPUR, 28 JULAI: Kerajaan melalui Kedutaan Besar Malaysia di Arab Saudi sedang mengatur langkah segera bagi memastikan kebajikan dan keselamatan 42 jemaah umrah yang terkandas di Jeddah sejak 25 Julai lepas terjamin, termasuk usaha membawa mereka pulang dengan selamat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata pihaknya memandang serius kes sedemikian selain tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menipu atau memperdaya jemaah umrah, terutama melibatkan warga emas dan penjawat awam.

Beliau berkata tindakan tegas termasuk melalui saluran undang-undang akan diambil terhadap pihak yang bersekongkol atau bersalah dalam insiden terbabit.

"Saya amat prihatin dan bersimpati dengan nasib 42 jemaah umrah Malaysia yang dilaporkan terkandas di Jeddah sejak 25 Julai akibat isu ketiadaan tiket penerbangan pulang.

"Sejak awal tahun saya berulang kali mengingatkan orang ramai supaya membuat semakan status syarikat dan pakej umrah yang ditawarkan melalui saluran rasmi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya termasuk portal dan aplikasi khas semakan ejen pelancongan berlesen," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Mohd Na'im turut menasihati umat Islam di negara ini supaya sentiasa berwaspada dan hanya memilih pengendali umrah yang sah, berlesen serta berdaftar dengan pihak berkuasa sekali gus mengelakkan kejadian sedemikian berulang pada masa hadapan.

Menurut laporan media semalam, 42 jemaah umrah terkandas di Jeddah selepas agensi pelancongan dikatakan gagal menyediakan tiket penerbangan pulang ke Malaysia seperti dijanjikan.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.