ad
BERITA UTAMA

Raja Muda Selangor sertai penanaman 600 pokok bakau di Pulau Carey

27 Jul 2025, 12:00 PM
Raja Muda Selangor sertai penanaman 600 pokok bakau di Pulau Carey
Raja Muda Selangor sertai penanaman 600 pokok bakau di Pulau Carey
Raja Muda Selangor sertai penanaman 600 pokok bakau di Pulau Carey

SHAH ALAM, 27 JULAI: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyempurnakan Majlis Penanaman Pokok Bakau sempena sambutan Hari Hutan Paya Bakau Sedunia 2025 di Perkampungan Budaya Mah Meri, di sini, semalam.

Menurut kenyataan Selangor Royal Office di Facebook, keberangkatan Baginda turut diiringi Yang Amat Mulia Tengku Datin Paduka Setia Zatashah.

[caption id="attachment_712609" align="aligncenter" width="696"] DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah (berbaju biru) meneliti anak pokok bakau yang baru ditanam ketika menyertai Majlis Penanaman Pokok Bakau Sempena Hari Hutan Paya Bakau Sedunia 2025 di Pulau Carey pada 26 Julai 2025. Foto Facebook Selangor Royal Office[/caption]

Program berkenaan merupakan anjuran bersama Perkampungan Budaya Mah Meri, Aquaria KLCC dan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor.

Sebanyak 600 pokok bakau spesies Rhizophora sp dan enam pokok nyireh (Xylocarpus sp) ditanam oleh Tengku Amir Shah bersama lebih 400 peserta yang terlibat dalam program pemuliharaan itu.

"Program ini adalah sebahagian usaha untuk bersama memelihara dan memulihara kawasan paya bakau kerana ia memberikan pelbagai manfaat penting untuk alam sekitar dan manusia," menurut pejabat itu.

[caption id="attachment_712610" align="aligncenter" width="697"] DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan beramah mesra dan menyantuni komuniti Mah Meri. Foto Facebook Selangor Royal Office[/caption]

Baginda turut berkenan beramah mesra dan meraikan komuniti Mah Meri, salah satu suku kaum Orang Asli di Selangor yang kekal gigih mempertahankan warisan adat dan budaya nenek moyang mereka.

Hari Hutan Paya Bakau Sedunia disambut pada 26 Julai setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan ekosistem hutan bakau kepada alam sekitar dan kehidupan manusia sejagat.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.