ad
ADN

Laluan sehala percubaan di Olive Hill bantu atasi parkir berganda

27 Jul 2025, 11:47 AM
Laluan sehala percubaan di Olive Hill bantu atasi parkir berganda

Oleh Chua Chee Hwai

SERI KEMBANGAN, 27 JULAI: Bagi menangani isu kesesakan lalu lintas akibat parkir berganda, kawasan komersial Olive Hill di sini melaksanakan percubaan laluan sehala bermula Selasa lalu membabitkan Jalan BS 1/3.

Ahli Dewan Negeri Seri Kembangan, Wong Siew Ki berkata, kawasan komersial itu menempatkan pelbagai premis namun menghadapi masalah kekurangan tempat letak kereta.

“Ramai pemandu memilih meletak kenderaan secara berganda demi kemudahan sendiri, sehingga menyebabkan lorong kenderaan dihalang dan akhirnya mencetuskan kesesakan lalu lintas,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Menurutnya, terdapat dua pendekatan untuk menyelesaikan isu parkir berganda itu sama ada melalui tindakan penguatkuasaan atau pelaksanaan pelan laluan alternatif.

“Bagi mengelakkan kesulitan kepada penduduk, kita memilih melaksanakan pelan laluan alternatif melalui mod percubaan,” jelasnya.

Beliau menambah, Ahli Majlis Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Huang Nana sebelum ini mencadangkan kepada MBSJ untuk melaksanakan percubaan pelan laluan sehala di Olive Hill dan ia diluluskan serta dimulakan 22 Julai lalu. Papan tanda sementara juga diletakkan di pintu masuk kawasan tersebut.

Mengikut pelan percubaan tersebut Jalan BS 1/3 dijadikan laluan sehala; Jalan BS 1/1 kekal sebagai laluan sehala dan Jalan BS 1/2 kekal dua hala.

“Oleh itu, jika pemandu ingin memasuki Jalan BS 1/3 dari Jalan BS 1/2, mereka perlu membelok ke kanan memasuki Jalan BS 1/1 terlebih dahulu, kemudian mengikut aliran trafik ke Jalan BS 1/3,” katanya.

Tambah beliau, laluan dari Jalan BS 3/1 ke dalam kawasan Olive Hill juga ditukar kepada laluan sehala, dan pemandu tidak boleh lagi terus masuk ke Jalan BS 1/3. Sebaliknya, mereka perlu membelok ke kiri ke Jalan BS 1/1 atau BS 1/2 untuk ke Jalan BS 1/3.

Wong berkata, papan tanda sementara yang dipasang itu belum dianggap sebagai laluan muktamad.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.