ad
AGENDA

Beberapa trak bantuan Mesir bawa bekalan ke Gaza melalui persimpangan Rafah

27 Jul 2025, 10:28 AM
Beberapa trak bantuan Mesir bawa bekalan ke Gaza melalui persimpangan Rafah

ANKARA, 27 JULAI: Beberapa trak bantuan dari Mesir dilaporkan memasuki Semenanjung Gaza melalui persimpangan Rafah pada pagi Ahad, membawa pelbagai bekalan penting termasuk makanan dan barangan untuk memulihkan infrastruktur, lapor Anadolu Ajansi yang memetik media tempatan Mesir.

Rakaman video oleh saluran Al Qahera News menunjukkan trak-trak sarat dengan muatan bergerak dari wilayah Mesir ke dalam Gaza.

Sementara itu, portal berita Al-Ahram Gate melaporkan konvoi berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Mesir dalam menyokong rakyat Palestin yang terjejas akibat konflik.

Menurut laporan, bantuan yang dihantar melalui trak-trak milik Mesir dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu meliputi barangan makanan serta bahan untuk membaik pulih infrastruktur awam yang rosak teruk akibat serangan berterusan Israel.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Bulan Sabit Merah Mesir atau pihak berkuasa berkaitan mengenai jumlah trak yang terlibat atau jadual penghantaran seterusnya.

Penghantaran bantuan ini dibuat dalam suasana tekanan antarabangsa yang semakin meningkat agar laluan bantuan kemanusiaan ke Gaza dibuka tanpa sekatan, susulan amaran agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai kebuluran yang bakal berlaku serta kemusnahan besar terhadap infrastruktur awam akibat operasi ketenteraan berterusan oleh Israel.

- BERNAMA-ANADOLU

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.