OLEH DEWI ABDUL RAHMAN
PETALING JAYA, 27 JULAI: Tanggapan bahawa strok hanya menyerang warga emas kini tidak lagi tepat, apabila pesakit seawal usia 20-an dan juga bayi telah disahkan menghidap penyakit tersebut.
Persatuan Angin Ahmar Kebangsaan Malaysia (Nasam) tampil meneruskan advokasi melalui Karnival Amal Nasam yang berlangsung di Taman Jaya, Petaling Jaya hari ini, melibatkan pelbagai aktiviti kesedaran serta pameran berkaitan pemulihan angin ahmar.
Sukarelawan, Jacqui Chin, 75 menyifatkan acara ini sebagai platform terbaik untuk meningkatkan kesedaran dan membantu pesakit mendapatkan akses rawatan.
[caption id="attachment_712570" align="alignleft" width="500"] Pelbagai aktiviti disediakan ketika program Persatuan Stroke Kebangsaan Malaysia (nasam) Pesta Amal di Taman Jaya Park, Petaling Jaya pada 27 Julai 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Program ini sangat baik untuk bantu pesakit terus ‘survive’. Saya seronok dapat buat kerja amal, dan barang jualan pun ditaja oleh syarikat-syarikat luar,” katanya bersemangat.
Pengunjung, Pavani Krishnasamy, 57, pula menganggap program ini sebagai peluang untuk memberi sumbangan sambil melengkapkan diri dengan ilmu kesihatan.
“Saya memang tahu tentang strok, dan sentiasa ambil berat soal kesihatan. Namun kita semua perlu cakna, buat pemeriksaan kesihatan secara berkala dan jangan ambil ringan,” katanya.
Menurut Ketua Rehabilitasi Nasam Kathiravan, sejak pusat itu ditubuhkan, lebih 3,800 pesakit strok telah menerima rawatan melalui enam pusat pemulihan yang beroperasi di seluruh negara.
"Setakat ini, Nasam telah mendaftarkan 3,800 pesakit strok sejak ditubuhkan, setiap tahun, sekitar 200 hingga 300 pesakit baru mendapatkan rawatan.
"Kami menawarkan sesi pemulihan individu (RM80) dan berkumpulan (RM380), bergantung pada lokasi dan keperluan. Bagi pesakit kurang berkemampuan, pengecualian bayaran akan dipertimbangkan selepas penilaian.
“Kami NGO, jadi caj adalah minimum. Fokus kami adalah pastikan pesakit yang perlukan rehabilitasi dapat dibantu,” jelasnya.
Kathiravan menjelaskan, ramai pesakit dan keluarga menyangka pemulihan bermaksud kembali sepenuhnya seperti dahulu, namun itu bukan ukuran utama.
[caption id="attachment_712569" align="alignright" width="500"] Pavani Krishnasamy[/caption]
"Kebanyakan orang masih tak tahu apa sebenarnya strok dan Nasam. Mereka juga bertanya, berapa lama pemulihan strok mengambil masa? Bila saya akan sembuh?
“Pulih sebenar bagi kami ialah apabila pesakit mampu kembali menjalani kehidupan harian secara berdikari, contohnya makan sendiri, mandi, berpakaian dan bergerak bebas. Walaupun mungkin tangan tak angkat sempurna, tapi mereka boleh berdikari, itulah pemulihan yang sebenar,” ujarnya memberi harapan.
Strok kini menjadi punca kematian ketiga tertinggi di Malaysia. Di peringkat global, lebih 12 juta kes baharu dicatatkan setiap tahun, manakala di Malaysia sahaja, lebih 50,000 kes baharu direkodkan setiap tahun. Lebih membimbangkan, kira-kira 40 peratus daripada kes tersebut melibatkan individu berusia di bawah 60 tahun.