Oleh Dewi Abdul Rahman
HULU LANGAT, 28 JUL: Program Agro Green Selangor 2025 yang berlangsung di Taman Flora Cheras menerima sambutan hangat daripada orang ramai, dengan majoriti pengunjung meluahkan rasa puas hati terhadap penganjurannya.
Menampilkan deretan buah-buahan tempatan, pelbagai produk tani dan susunan aktiviti yang menarik, program itu berjaya mencuri tumpuan sejak awal pagi apabila orang ramai berpusu-pusu hadir bagi mendapatkan hasil segar pada harga promosi.
Menurut Lim Yoke Wah, 62, program ini bukan sahaja memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan buah-buahan tempatan yang segar dan berkualiti, malah turut membantu mempromosikan hasil pertanian tempatan secara lebih meluas.
[caption id="attachment_712510" align="aligncenter" width="724"] Lim Yoke Wah, 62, (kanan)[/caption]
“Saya datang untuk tengok buah-buahan tempatan. Saya suka nanas dan durian. Ini satu usaha yang baik untuk mempromosikan buah-buahan Malaysia. Lebih baik kita makan buah tempatan, lebih murah dan segar,” katanya.
Pandangan serupa turut disuarakan Siti Eshah Ghazali, 61, yang hadir untuk mendapatkan buah-buahan kegemarannya seperti durian, cempedak dan nanas sambil meninjau pelbagai hasil tani serta pokok yang dipamerkan.
[caption id="attachment_712511" align="aligncenter" width="812"] Siti Eshah Ghazali, 61,[/caption]
“Saya datang nak tengok buah-buahan dan juga pokok-pokok. Macam cempedak, durian, rambutan, manggis dan nanas. Buah-buah yang memang biasa kita makan,” katanya.
Bagi Ahmad Redzuan Ramli, 46, penganjuran program ini disifatkan sebagai satu usaha berkesan dalam mendekatkan masyarakat dengan sektor pertanian, sekali gus membantu petani tempatan memperluas pasaran.
“Program ini sangat menarik dan bermanfaat kepada para pengunjung kerana mereka berpeluang melihat sendiri hasil pertanian yang diusahakan, khususnya dari daerah Hulu Langat.
“Kalau di luar, harga buah-buahan dan produk tani biasanya lebih tinggi. Di sini, pengunjung boleh mendapatkannya pada harga promosi yang jauh lebih berpatutan.
“Anak-anak saya pun suka durian. Kebanyakan buah tempatan memang berkualiti dan sangat berjaya diusahakan di negara kita,” katanya.
[caption id="attachment_712512" align="aligncenter" width="760"] Mohd Nasrunizam Ismail, 48,[/caption]
Sementara itu, peniaga Mohd Nasrunizam Ismail, 48, menyifatkan program ini sebagai platform terbaik untuk memperkenalkan produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada masyarakat.
“Saya rasa menarik sebab bila ada program macam ini, kami usahawan boleh datang dan perkenalkan produk kepada orang ramai, khususnya warga Selangor. Mereka dapat mengenali produk keluaran Bumiputera,” katanya.
[caption id="attachment_712479" align="aligncenter" width="736"] EXCO Pertanian Dato' Ir Izham Hashim melancarkan Selangor Agrogreen 2025 di Pejabat Pertanian Daerah Hulu Langat pada 26 Julai 2025.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR[/caption]
Agro Green Selangor anjuran Jabatan Pertanian Selangor membuka tirainya semalam dengan perasmiannya disempurnakan oleh EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim.
Sepanjang tiga hari penganjuran, pelbagai pengisian menarik disediakan termasuk pameran hasil tani, jualan langsung, bengkel pertanian, demonstrasi teknologi pertanian terkini serta sesi padanan perniagaan antara pengeluar dan pembeli.
[caption id="attachment_712478" align="aligncenter" width="694"] EXCO Pertanian Dato' Ir Izham Hashim mengunjungi reruai di Selangor Agrogreen 2025 di Pejabat Pertanian Daerah Hulu Langat pada 26 Julai 2025.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR[/caption]
[caption id="attachment_712509" align="aligncenter" width="748"] Orang ramai mengunjungi Selangor Agrogreen 2025 di Pejabat Pertanian Daerah Hulu Langat pada 26 Julai 2025. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR[/caption]