ad
AGENDA

Ibu, bayi maut, empat ahli keluarga cedera dalam kemalangan

27 Jul 2025, 4:56 AM
Ibu, bayi maut, empat ahli keluarga cedera dalam kemalangan

DUNGUN, 27 JULAI: Ibu dan bayi perempuan berusia 18 bulan maut manakala empat lagi ahli keluarga cedera dalam kemalangan di Jalan Kilang Kelapa Sawit dekat Gugusan Rasau Kerteh di sini 6 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Maizura Abdul Kadir berkata Nur Suhailla Azman, 25, maut di tempat kejadian, manakala bayi perempuannya Nur Aira Humaira Mohamad Sharool meninggal dunia dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Ketengah Jaya di sini.

Beliau berkata selain itu suami mangsa Mohamad Sharool Nizam Hamzah, 32, dan anak sulung mereka Nur Aisya Humaira berusia tiga tahun mengalami kecederaan ringan.

“Dua lagi mangsa iaitu ibu kepada Mohamad Sharool, Timah Mohamad, 73, dan anaknya Ruzaimi Abd Rashid, 48, dilaporkan cedera parah.

“Difahamkan ketika kejadian kesemua mangsa yang menaiki sebuah kereta dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Felda Kerteh 4 dari bandar Dungun,” katanya ketika dihubungi.

Maizura berkata mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Dungun untuk rawatan, manakala mayat dua beranak itu dibawa ke Unit Forensik hospital sama untuk tindakan lanjut.

- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.