SHAH ALAM, 27 JUL: Penganjuran himpunan pembangkang secara aman di ibu negara semalam mencerminkan kematangan demokrasi negara sekali gus membuktikan Kerajaan Madani tekad memelihara ruang bersuara untuk semua pihak.
Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Adam Adli berkata himpunan diketuai PAS itu tidak dianggap sebagai ancaman sebaliknya melambangkan perubahan budaya politik yang semakin terbuka dan bebas berbanding era pemerintahan kuku besi sebelum ini.
[caption id="attachment_586200" align="aligncenter" width="727"] Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Adam Adli. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI[/caption]
“Malaysia pernah melalui zaman di mana suara dibungkam, perhimpunan dibedil dan perbezaan pendapat dijenayahkan.
“Di era Madani, pembangkang dan penyokong mereka dibenarkan berhimpun secara aman tanpa gangguan mahupun kekerasan. Ini bukan kelemahan pentadbiran, ini kekuatan demokrasi sebenar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, Kerajaan Madani bukan sahaja menjamin hak berhimpun dan bersuara seperti termaktub dalam Perlembagaan, malah membudayakan norma demokrasi yang sihat dan seimbang.
Adam berkata reaksi positif Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap perhimpunan itu menunjukkan kesediaan kerajaan mendengar suara berbeza tanpa sikap angkuh atau menindas.
“Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada anggota keselamatan di lapangan. Kehadiran mereka tanpa pemedih mata, belantan dan perisai rusuhan mencerminkan kematangan institusi keselamatan dalam ekosistem demokrasi negara,” katanya.
Tambahnya lagi, komitmen kerajaan dalam menangani isu kos sara hidup, pembasmian kemiskinan, reformasi ekonomi serta pembangunan pendidikan dan peluang pekerjaan juga membuktikan kesungguhan kepimpinan Madani menjaga kebajikan rakyat.
Bagaimanapun, beliau mempersoalkan sama ada pembangkang mampu mendidik penyokong mereka agar lebih celik, adil serta mampu berhujah secara berhemah di Parlimen.
“Di pentas dunia, kepimpinan Perdana Menteri berjaya mengangkat semula imej Malaysia sebagai kuasa ekonomi yang stabil dan diyakini pasca pandemik.
“Ketika kerajaan sibuk memulihkan negara, pembangkang pula ketandusan hala tuju hingga beralih kepada strategi mencipta ketidaktentuan dan permainan persepsi tanpa dasar alternatif yang lebih baik, hanya serangan ke atas personaliti,” katanya.