Percutian ke Indonesia pada 2015 memberi ilham kepada Ramli Abu Bakar, 58 tahun, tentang potensi buah 'alpukat' yang membanjiri pasaran negara jiran itu.
Sebaik bersara pada 2018, beliau memilih untuk menceburkan diri dalam sektor pertanian dengan penanaman durian, avocado dan tanaman sampingan lain seperti lemon, markisa serta rambutan.
Bagaimanapun, proses membuka tanah ladang dan membawa benih avokado dari Vietnam terpaksa ditangguhkan pada 2020 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan wabak Covid-19 yang melanda seluruh dunia ketika itu. Beliau kembali menyambung usaha penanaman avokado secara serius pada 2021.
[caption id="attachment_712393" align="aligncenter" width="760"] Ramli Abu Bakar bergambar dihadapan Teratak Ohana di Kampung Serigala, Kuala Kubu Bharu, ketika tinjauan Media Selangor pada 10 Julai 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Kini, Ramli mempunyai sekitar 100 pokok avokado merangkumi 15 varieti dari baka premium yang diperoleh dari Indonesia, Thailand dan Vietnam, sebahagiannya sudah mula mengeluarkan hasil.
Pengalamannya bergelumang dengan penanaman avokado sejak beberapa tahun lepas juga menyedarkannya bahawa avokado lebih mudah ditanam berbanding durian Musang King dan Duri Hitam, walaupun kos awal penanaman durian lebih murah berbanding avokado.
"Segi penjagaan, avokado lebih senang daripada durian. Mungkin ramai yang tak tahu. Mungkin benih durian murah sikit tapi penyelengaraannya untuk lima, enam, tujuh tahun itu pelaburannya lebih tinggi. Durian punya baja, racun-racun, macam-macamlah tapi kalau avocado mungkin permulaan tinggi sebab benih dia tinggi tetapi penyelengaraan senang,"kata Ramli kepada Media Selangor di ladang avokado miliknya di Kampung Serigala, Kuala Kubu Bharu pada 10 Julai.
Tambahnya lagi, penjagaan tanaman avokado juga lebih mudah berbanding durian.
[caption id="attachment_712399" align="aligncenter" width="805"] Setiap enam bulan Ramli Abu Bakar memangkas dahan pokok avocado bagi mengeluarkan bunga dan mendapatkan hasil buah yang banyak. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
"Ada dua tiga benda yang kita perlu jaga, macam ulat korek batang. Lain itu biasalah, penjagaan dia biasa sahaja tetapi kalau durian memang lebih rumit sebenarnya terutama musang king dengan duri hitam. Avocado ini lebih senang, senang banyaklah penjagaan dia,"
Menurut Ramli, kos awal penanaman avokado dianggarkan lebih RM20,000 meliputi kerja tanah, pemasangan sistem solar dan pembinaan rumah rehat di kebun. Namun selepas fasa awal, kos penjagaan minimum dan sangat berbaloi dalam jangka panjang.
Pokok avokado hasilkan buah pelbagai baka
Menurut Ramli, salah satu keunikan avokado selain boleh berbuah sepanjang tahun adalah kemampuannya untuk mengeluarkan buah pelbagai baka jika pokok dikenakan teknik cantuman, teknik sama digunakan ke atas pokok bunga kertas untuk menghasilkan bunga pelbagai warna.
"Avokado sebenarnya belajar berbunga dalam dua tahun setengah dan bunga itu antara jadi tak jadilah. Pokok tu mungkin kadang-kadang jadi sikit, ada pokok jadi banyak, macam belajar buahlah. Tahun ketiga dah banyak sikit. Tiga tahun setengah lebih banyaklah.
"Ada pokok tiga tahun baru belajar buah, ada dua tahun setengah, ada pula setengahnya mungkin awal daripada itu bergantung pada pokok dan penjagaan kita tetapi kalau pokok kahwin, dalam tiga, empat tahun memang akan jadi berbanding dengan pokok (benih) biji," jelas Ramli.
[caption id="attachment_712392" align="aligncenter" width="709"] Ramli Abu Bakar menanam varieti avocado seperti Namlong, Yellow Vietnam, Than Birch, Kelud dan Markus di Teratak Ohana di Kampung Serigala, Kuala Kubu Bharu, ketika tinjauan Media Selangor pada 10 Julai 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Buat masa sekarang, Ramli hanya menjual hasil tuaian tanamannya kepada kenalan dan menerusi media sosial kerana pengeluarannya belum mencukupi untuk dipasarkan secara komersial.
Walaupun avokado yang dihasilkan bertaraf premium, beliau menjualnya pada harga RM20 sekilogram memandangkan pokok-pokok masih dalam proses ‘belajar berbuah’.
Selain buah, Ramli juga membekalkan anak pokok terutama untuk pengusaha komersial dan individu yang berminat menanam secara kecil-kecilan di halaman rumah.
Cabaran dan harapan masa hadapan
Cabaran awal yang dihadap Ramli termasuk gangguan monyet yang merosakkan tanaman muda, khususnya anak pokok durian. Namun selepas beberapa ketika, mungkin kerana rasa pahit buah muda avokado, monyet-monyet tidak lagi kembali. Selain itu, pemasangan pagar elektrik dengan tenaga solar juga membantu mengurangkan gangguan haiwan liar.
"Setakat ini masalah besar saya hadap itu tidak ada. Yang paling besar setakat ini kalau serangga itu biasalah, kita racun ada rutin berjadual.
"Kalau banding durian, durian lagi masalah dengan kanker batang, hawar daun, macam-macamlah penyakit durian tetapi kalau avokado ini cuma ulat korek batang sahaja. Itupun kalau kita sembur racun selalu tak ada masalah. Cuma jangan biarkan akar berendam lama," ujarnya.
[caption id="attachment_712390" align="aligncenter" width="719"] Avocado yang dipetik di Teratak Ohana di Kampung Serigala, Kuala Kubu Bharu. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Ramli optimis masa depan tanaman avokado di Malaysia semakin cerah, meyakini lebih ramai pengusaha baru akan melihat potensi tanaman ini bukan saja dari segi kos, tetapi juga nilai pasaran yang kian meningkat.
"Kita tak payah cerita yang tanam ladang tetapi yang orang biasa selalu beli avokado pun boleh tanam sebatang dua depan rumah. Sudahlah di pasar raya mahal, itu pun belum tentu buah elok. Mereka pun dah mula tanam. Memang sekarang memang mahal tetapi kalau ramai dah tanam, Insya Allah akan lebih murah," katanya.