ad
AGENDA

Penunggang motosikal maut jatuh 21 meter dari jejambat Lebuhraya DASH

27 Jul 2025, 1:52 AM
Penunggang motosikal maut jatuh 21 meter dari jejambat Lebuhraya DASH

SHAH ALAM, 27 JUL: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditungganginya terbabas sebelum terjatuh dari jejambat setinggi kira-kira 21 meter di Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH), kelmarin.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata kejadian jam 4.45 petang itu berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha YZF-R15 dipercayai hilang kawalan di selekoh dari arah Persiaran Mokhtar Dahari.

“Mangsa kemudian melanggar penghadang jalan di Susur 1/B 0.5 sebelum terjatuh ke kawasan berumput di bawah jejambat berkenaan, berhampiran Persiaran Pulau Angsa.

“Impak kemalangan mengakibatkan mangsa cedera parah di kepala dan kaki sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau memaklumkan mangsa berusia 23 tahun bekerja di sebuah syarikat swasta dan ketika kejadian dalam perjalanan dari rumah di Kampung Melayu Subang ke bengkel motosikal di Kuala Lumpur.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Nur Iqmal Maisarah Azman di talian 012-283 6851 bagi membantu siasatan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.