ad
AGENDA

PM hargai petugas dan rakyat dalam himpunan aman

26 Jul 2025, 1:13 PM
PM hargai petugas dan rakyat dalam himpunan aman

SHAH ALAM, 26 JULAI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghargai peranan semua petugas keselamatan bagi memastikan kelancaran perhimpunan aman yang berlangsung di ibu negara hari ini.

Beliau berkata petugas dari kalangan polis, bomba, pasukan perubatan dan sukarelawan menunjukkan tahap disiplin dan dedikasi tinggi dalam menjamin keselamatan awam serta ketenteraman sepanjang acara.

“Kepada saudara saudari yang hadir sama ada yang menyuarakan pandangan, menyatakan solidariti, mahupun yang datang dari jauh, saya ucapkan selamat berpulang ke destinasi masing-masing.

"Semoga perjalanan kalian dipermudah dan dilindungi,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Anwar dalam kenyataan sama menegaskan pendiriannya kekal menjunjung prinsip demokrasi, termasuk kebebasan untuk menyatakan pandangan dan kritikan terhadap kerajaan.

"Kritikan dan perbedaan pandangan tidak seharusnya dilihat dari lensa permusuhan, malah ia harus terus bercambah dan subur mekar menjadi denyut nadi negara bangsa yang matang, progresif dan berdaulat.

"Yang penting, ia harus berjalan dengan tertib, aman dan dalam semangat cintakan tanah air,” katanya.

Menurutnya, prinsip sama turut diterapkan dalam sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Parlimen yang memberi ruang kepada Ahli Parlimen menyuarakan bantahan secara langsung.

Beliau turut menyeru rakyat terus berdialog dan terlibat secara aktif dalam pelbagai lapangan pembangunan negara, bukan hanya di jalanan.

"Saya undang semua untuk terus berdialog dan berwacana, mencari titik temu, melakar serta membina negara ini bersama, tidak sekadar di jalanan, tetapi bangkit telaah, menggapai dan menguasai lapangan-lapangan baharu agar negara ini dilonjak ke depan secara mantap dan bertenaga,"katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.