SHAH ALAM, 26 JULAI: Golongan lelaki mencatat jumlah kematian akibat lemas tertinggi di Malaysia sepanjang lima tahun kebelakangan ini.
Ketua Cawangan Program Kesedaran Keselamatan Awam Bahagian Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berkata golongan itu menyumbang 89 peratus daripada 1,359 kematian.
Menurut Penolong Pesuruhjaya Bomba, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, rekod pihak bomba juga menunjukkan hanya 11 peratus daripada jumlah kematian lemas di negara ini membabitkan wanita.
[caption id="attachment_591788" align="aligncenter" width="724"] Pasukan penyelamat berehat seketika selepas melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi kepala air Jeram Air Putih Kemaman di Kampung Teladas pada 6 Julai 2023. Foto Bernama[/caption]
Jelas beliau, sikap terlalu yakin dengan kebolehan berenang golongan lelaki mendorong mereka mengambil risiko berlebihan ketika berada di kawasan air.
"Kalau ikut rekod kita, kebanyakan yang jadi mangsa lemas adalah kaum lelaki sebenarnya.
"Berdasarkan pecahan umur, golongan berusia antara 20 hingga 30 tahun mencatat jumlah kematian tertinggi iaitu 36 peratus.
"Ia diikuti oleh kumpulan umur 7 hingga 19 tahun (30%), 40 hingga 59 tahun (19%) dan warga emas berusia 60 tahun ke atas (6%)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam program Bicara Semasa bertajuk “Antara Peka dan Leka”, sempena sambutan Hari Pencegahan Lemas Sedunia baru-baru ini.
[embed]https://www.youtube.com/live/unDSjiK6tkM[/embed]
Mengulas lanjut, Mohamadul Ehsan berkata, bahaya lemas tidak hanya tertumpu kepada aktiviti berenang semata-mata. Malah, ramai juga mangsa yang terkorban ketika menaiki bot tanpa mematuhi aspek keselamatan asas.
“Ramai pakai jaket keselamatan, tapi tidak dikancing dengan betul. Atau langsung tiada jaket. Bila berlaku insiden, tiada apa yang boleh menyelamatkan mereka,” jelasnya.
Tambah beliau, meskipun garis panduan keselamatan air telah lama digariskan, kesedaran dalam kalangan orang ramai masih rendah.
[caption id="attachment_488021" align="aligncenter" width="697"] Anggota bomba ketika operasi menyelamat seorang remaja yang lemas apabila cuba membantu rakannya yang tergelincir ketika berswafoto berdekatan kawasan empangan di jambatan Kampung Pertak, Kuala Kubu Bahru, Selangor pada 18 Sept 2021. Foto BERNAMA[/caption]
Justeru, beliau mengingatkan ibu bapa agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak, lebih-lebih lagi semasa cuti sekolah atau musim biasa.
Mohamadul Ehsan juga menasihatkan remaja dan belia yang gemar memancing atau beriadah di kawasan air agar lebih peka terhadap amaran cuaca dan perubahan persekitaran.
"Saya ingatkan kepada semua ibu bapa dan juga masyarakat, kita nak bercuti okey tak ada masalah tapi yang penting tengok keadaan cuaca, pastikan juga situasi dalam keadaan tak merbahaya.
"Tengok juga papan papan tanda di kawasan tersebut jika menunjukkan kawasan itu adalah bahaya, janganlah pergi kawasan tersebut,"katanya.