ad
AGENDA

Tujuan lawatan diragui, AKPS tolak kemasukan 99 warga asing di KLIA

26 Jul 2025, 8:49 AM
Tujuan lawatan diragui, AKPS tolak kemasukan 99 warga asing di KLIA

KUALA LUMPUR, 26 JULAI: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) menolak kemasukan 99 warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, semalam selepas gagal melepasi saringan keselamatan.

AKPS dalam kenyataan hari ini memaklumkan kesemua individu berkenaan terdiri daripada 80 warga Bangladesh, 10 dari India dan sembilan dari Pakistan

“Penolakan dibuat kerana mereka gagal memenuhi syarat imigresen termasuk mempunyai tujuan lawatan dan rekod perjalanan yang meragukan.

“Kesemua 99 individu berkenaan yang merupakan lelaki telah diuruskan untuk proses dokumentasi lanjut dan dihantar pulang semula ke negara asal mengikut prosedur undang-undang sedia ada,” menurut kenyataan itu.

AKPS memaklumkan operasi intensif selama tujuh jam bermula 9.30 pagi itu diketuai Unit Pemantau KLIA Terminal 1 dengan sokongan Unit Integriti yang telah memeriksa lebih 400 individu dan menyasarkan penerbangan berisiko tinggi.

“Ia melibatkan semakan latar belakang, dokumentasi perjalanan dan temu bual secara individu,” menurut kenyataan itu.

AKPS memaklumkan langkah penguatkuasaan seperti itu akan terus dipertingkatkan secara berkala sebagai strategi proaktif bagi menangani ancaman seperti sindiket penyeludupan manusia dan penyalahgunaan pas lawatan sosial.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.