GEORGE TOWN, 26 JULAI: Sebanyak lima orang cedera parah manakala seorang cedera ringan dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan yang kesemuanya dilanggar oleh sebuah Proton X70 di tiga lokasi berbeza di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata dalam kejadian pada 8.30 malam itu, Proton X70 dipandu lelaki berumur 50 tahun melanggar bahagian belakang sebuah Perodua Myvi dipandu wanita berusia 44 tahun di simpang lampu isyarat Jalan Perak.
"Lelaki itu kemudiannya meneruskan pemanduan dan melanggar dua motosikal, iaitu Honda Vario dan Honda C100 di lokasi berasingan di Jalan Perak, sebelum melanggar pula bahagian belakang sebuah Honda City di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata hanya pemandu Myvi mengalami cedera ringan manakala pemandu Proton X70, penunggang dan pembonceng motosikal Honda C100, iaitu lelaki berusia 56 dan 15 tahun, serta penunggang Honda Vario, lelaki berumur 29 tahun dan pemandu Honda City wanita berusia 29 tahun mengalami kecederaan parah.
Abdul Rozak berkata kesemua mereka yang merupakan warga tempatan menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA