SHAH ALAM, 26 JUL: Pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) kini bukan lagi pilihan sebaliknya menjadi teras utama pembangunan modal insan dan pemacu pertumbuhan ekonomi Selangor, kata Dato’ Menteri Besar
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bidang tersebut semakin mendapat tempat berikutan keupayaannya melahirkan tenaga kerja mahir serta menjana peluang keusahawanan teknologi baharu yang bersifat inovatif dan mencipta pekerjaan masa depan.
[caption id="attachment_712412" align="aligncenter" width="814"] Dato' menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berucap sempena Majlis konvokesyen ke-24 Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 26 Julai 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Pelaburan dalam TVET bukan sahaja melahirkan pekerja mahir, tetapi turut membangunkan teknousahawan (technopreneur) berasaskan teknologi yang mampu mencipta penyelesaian inovatif.
“Di Selangor sahaja, sektor-sektor TVET seperti automasi industri, dron, elektrik dan elektronik, perkilangan pintar, teknologi tenaga boleh baharu serta kecerdasan buatan berkembang pesat dan memerlukan tenaga kerja mahir dalam jumlah besar,” katanya.
Beliau berucap sempena Majlis Konvokesyen ke-24 Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz di sini, hari ini.
Amirudin menambah, kepesatan pembangunan TVET di negeri ini bukan sahaja sejajar dengan Dasar TVET Negara malah turut menyokong aspirasi Pelan Induk Perindustrian Negara 2030 yang digariskan Kerajaan Persekutuan.
Terdahulu, beliau menyampaikan sijil graduasi kepada 360 graduan dalam pelbagai bidang kemahiran serta menyempurnakan penyampaian Anugerah Khas Menteri Besar Selangor kepada graduan sektor penyamanan udara Muhammad Adam Zikri Harun.
[caption id="attachment_712414" align="aligncenter" width="790"] Dato' menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari menyampaikan Anugerah Semangat Jati Diri kepada graduan Ahmad Hakimi Miswan sempena Majlis konvokesyen ke-24 Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 26 Julai 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Dua lagi graduan turut menerima pengiktirafan iaitu Muhammad Aqil Bahaman (Anugerah Inspirasi Belia) dan Ahmad Hakimi Miswon (Anugerah Semangat Jati Diri).
Sementara itu, Muhammad Adam Zikri, 20, menyifatkan pengalaman mengikuti pengajian di STDC sebagai detik paling berharga yang membentuk ketahanan diri dan nilai kerja keras.
“Antara paling mencabar adalah terluka di bengkel, gagal ujian amali dan hasil kerja ditolak kerana tidak menepati standard. Tetapi semua ini membentuk saya menjadi insan cekal.
“Dengan didikan di STDC, saya akan terus menabur bakti dan memanfaatkan ilmu dalam dunia pekerjaan kelak,” katanya yang berasal dari Sungai Burong, Sekinchan.
[caption id="attachment_712413" align="aligncenter" width="812"] Sebahagian graduan sempena Majlis konvokesyen ke-24 Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 26 Julai 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]