SHAH ALAM, 26 JULAI: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melanda beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia sehingga jam 5 petang ini.
Antara kawasan terlibat ialah seluruh Perlis, Kedah, Kuala Lumpur, selain beberapa daerah di Pulau Pinang, Perak, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Di Selangor, keadaan sama dijangka berlaku di daerah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Hulu Langat.
MetMalaysia menerusi Facebook menjelaskan amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda hujan lebat dengan intensiti melebihi 20 milimeter sejam yang dijangka berterusan lebih sejam.
Amaran ini adalah amaran jangka pendek yang sah selama maksimum enam jam bagi satu keluaran.
Orang awam dinasihatkan agar sentiasa merujuk laman sesawang rasmi MetMalaysia di www.met.gov.my, mengikuti media sosial mereka serta memuat turun aplikasi myCuaca untuk mendapatkan maklumat terkini dan tepat.